Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warden asrama didakwa liwat pelajar tahfiz ditahan

Warden asrama yang dikatakan meliwat dua pelajar selain mencabul tiga lagi pelajar sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat di Kangar, Perlis ditahan polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata suspek berumur 28 tahun yang berasal dari Bandar Baharu, Kulim, Kedah itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak di sebuah pusat tahfiz di sana kira-kira 12.10 tengah malam.

Siasatan awal terhadap suspek mendapati suspek mengaku meliwat, mencabul dan membuat gangguan seksual terhadap mangsa yag berusia antara sembilan hingga 15 tahun, katanya.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Mei bagi membantu siasatan. Suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kangar kira-kira 10.45 pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Norhayati Ibrahim di Mahkamah Majistret Kangar hari ini.

Laporan polis terhadap suspek dibuat oleh seorang kakitangan pusat tahfiz tempat suspek bekerja pada Khamis lepas di Balai Polis Simpang Empat.

Suspek telah melarikan diri ke Perak sejurus mengetahui mengenai laporan polis terhadapnya itu.

Media melaporkan dua pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat manakala tiga pelajar lagi mendakwa dicabul oleh warden asrama mereka sepanjang berada di pusat tahfiz berkenaan.

Perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas seorang daripada mangsa liwat berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden berkenaan.

Mangsa turut mendakwa suspek mengugut memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 377C, 377E dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS