Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK SANDAKAN | Pengundi Sandakan berpusu-pusu menghadiri ceramah terakhir anjuran Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) walaupun di tengah hujan gerimis malam ini.

Di Bandar Letat Jaya, kira-kira 1,500 orang berkumpul untuk mendengar ceramah PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Orang ramai terpaksa menggunakan payung atau berdiri di kaki lima jalan berhampiran untuk mengelakkan kebasahan.

Bagi Shafie, hujan yang turun malam ini merupakan petanda yang baik bagi calon PH, Vivian Wong yang akan bertemu lawannya dari PBS, Linda Tsen esok.

Selain Linda, Wong juga akan menghadapi tiga calon bebas yang turut bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

Di Taman Harmoni, yang jaraknya kira-kira lima minit perjalanan, jumlah yang hampir sama dikumpulkan dalam ceramah anjuran "gabungan pembangkang" di sebuah dewan.

'Bossku' dan 'Bapa BR1M'

Apabila bekas perdana menteri Najib Razak tiba kira-kira jam 9 malam, beliau segera dikerumuni orang ramai.

"Tidak kira hujan atau tidak, kita mesti sambut 'bossku'," kata seorang lelaki, merujuk kepada Najib.

Sebaik tiba, Najib menuju ke pentas dan mula berucap. 

Orang ramai yang hadir mengelilingi pentas sementara yang di belakang berdiri di atas kerusi. Terdapat kira-kira 800 kerusi disediakan.

Najib dalam ucapannya berkata beliau merupakan perdana menteri paling kerap mengunjungi Sabah. 

Beliau juga menceritakan pengalamannya berada di sebuah pasaraya hari ini apabila salah seorang lelaki menggelarnya sebagai 'Bapa BR1M'.

Sementara itu, Najib juga memperolok inisiatif dilakukan kerajaan seperti mempromosikan minyak kelapa sawit secara agresif dan cadangan untuk membina kereta terbang.

Di sebelah PH pula, gerombolan orang ramai terus membesar sehingga kira-kira 2,500 orang, walaupun selepas Shafie meninggalkan ceramah berkenaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudian berkata ceramah itu akan diakhiri secepat mungkin bagi mengelakkan pengundi jatuh sakit akibat kebasahan dan supaya mereka dapat keluar mengundi PH esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS