Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak polis secara prinsipnya bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan 'syarat' kerajaan memberi jaminan tidak menghakis kuasa polis, maklum Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, segala kebimbangan pihak polis telah terungkai selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed

Pertemuan yang berlangsung di Putrajaya petang ini, turut disertai kira-kira 20 orang pegawai polis dan mereka mengemukakan perkara berbangkit mengenai penubuhan IPCMC.

"Saya amat berpuas hati dengan proses perbincangan, pegawai-pegawai tinggi PDRM (Polis Diraja Malaysia) memberi pandangan dan menimbulkan sesuatu yang amat memuaskan hati.

"Perkara-perkara yang menjadi kebimbangan di pihak PDRM telah pun diyakinkan oleh GIACC, kekhuatiran tersebut jauh meleset.

"Sebenarnya IPCM memberi banyak peluang dan banyak ruang kepada PDRM dan tidak sesekali menghakiskan atau menghilangkan kuasa yang ada pada PDRM," katanya selepas sesi perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung penubuhan IPCMC.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim.

Sementara itu, Abu Kassim berkata IPCMC tidak mencampuri tugas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM.

Jelas Abu Kassim, pihak polis telah diterangkan bagaimana kebimbangan mereka diuruskan semasa pihak terbabit membuat kertas kabinet dan draf undang-undang sebelum dibentangkan ke kabinet.

Katanya, IPCMC tidak mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan sebaliknya hanya menjalankan siasatan berhubung laporan salah laku yang dikemukakan.

"Secara ringkasnya saya boleh katakan perbincangan amat positif dan kita akan mengadakan satu perbincabgan teknikal.

"Pada prinsipnya saya boleh katakan di sini tiada halangan dan sokongan diberikan kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC ini," katanya,

Walau bagaimanapun jelas Abu Kassim, terdapat beberapa perkara memerlukan perbincangan sebelum ia disempurnakan dalam masa seminggu dua ini, sebelum dibawa ke kabinet bagi pertimbangan kerajaan.

Bukan hukum polis

Bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun pada 2 Mei lalu berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 3 Mei lalu pula berkata kerajaan komited menubuhkan suruhanjaya itu namun penglibatan lanjut perlu dilakukan bersama pihak polis kerana terdapat kebimbangan ia menjadi satu bentuk hukuman.

“Masih ada perkara-perkara yang tak begitu jelas umpama mereka andaikan dengan adanya IPCMC macam polis jadi sasaran bahawa polis lakukan banyak kesalahan.

“Tubuh badan seperti ini seolah-seolah untuk hukum mereka, ini tak betul,” kata Muhyiddin.

Di bawah janji ke-20 manifesto PRU14, PH berjanji akan melaksanakan penubuhan IPCMC dalam tempoh penggal pertama pentadbirannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS