Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kastam pertahan unit siasatan dalamannya yang dipertikai
Diterbitkan:  May 10, 2019 11:56 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Penubuhan Unit Siasatan Dalaman Khas (USD) kastam, yang dipertikaikan Dewan Himpunan Penyokong PAS, tidak memerlukan kelulusan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jelas kastam.

Menurut cawangan perhubungan awam jabatan itu, USD ditubuh sebagai sebuah pasukan petugas dan tidak bertindih dengan cawangan integritinya.

“Penubuhan unit ini tidak melibatkan sebarang penambahan perjawatan, oleh itu kelulusan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak diperlukan sehingga task force ini dijadikan sebuah cawangan yang rasmi dalam jabatan (kastam),” menurut cawangan perhubungan awam kastam.

Semalam Setiausaha DHPP S Barathidasan mendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menubuhkan USD tanpa kelulusan JPA.

S Barathidasan 

Oleh yang demikian, dakwanya, unit 20 anggota itu dibiayai oleh jabatan kastam negeri.

Sumber JPA pula memberitahu Malaysiakini bahawa jabatan itu telah meminta kastam membubarkan unit berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, kastam menjelaskan USD akan bertindak atas laporan serta dakwaan yang diterima dan siasatan awal secara menyeluruh akan dijalankan sebelum sesuatu tindakan diambil.

Ia, katanya, mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“JKDM mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan unit ini untuk memastikan integriti semua pihak yang terlibat dengan urusan perkastaman termasuk pegawai jabatan berada di tahap yang tinggi dan ini selari dengan dasar kerajaan yang tidak berkompromi dengan amalan rasuah,” menurut kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS