Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vietnam jadi kegilaan orang Malaysia menjelang Aidilfitri

Jika berkesempatan ke Ho Chi Minh, Vietnam, anda pasti terkejut melihat kelibat ramai wanita Malaysia di sana.

Ho Chi Minh menjadi salah satu destinasi membeli-belah utama bagi penduduk negara ini sejak beberapa tahun lalu, terutama menjelang musim perayaan.

Tanpa menghiraukan panas terik matahari, gelagat rakyat Malaysia yang menjinjing beg penuh berisi pakaian pastinya mencuit hati sesiapa sahaja.

Jadi tidak hairanlah apabila warga Malaysia mudah ditemui di bandar yang dahulunya dikenali sebagai Saigon itu.

Bagi Siti Zabeda Mohammad, 53, Ho Chi Minh menjadi destinasi kegemaran kerana banyak pilihan fabrik dengan harga yang murah dan berkualiti.

“Banyak kain yang menarik seperti kain sutera Vietnam, kain tenun dan bercorak yang semuanya menarik. Jadi saya rambang mata bila ke situ.

“Mereka (peniaga Vietnam) menjual kain dengan harga berpatutan. Apa yang menariknya, boleh tawar sampai saya dapat harga yang memuaskan hati.

“Jika ada masa, saya memang akan ke Ho Chi Minh sebelum Aidilfitri,” katanya yang sudah enam kali ke Vietnam.

Banyak lokasi menarik

Siti yang merupakan seorang pensyarah di universiti awam berkata, apa yang lebih menarik peniaga di Ho Chi Minh menerima matawang ringgit Malaysia (RM) untuk urusan jual beli

“Ini menjadi salah satu faktor saya tertarik untuk membeli-belah di sana,” katanya.

April lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilapor berkata, Vietnam kini memonopoli sektor pelancongan di Asia Tenggara sejak tahun lalu.

Terdapat banyak lokasi membeli-belah yang menarik di Ho Chi Minh, antaranya  pasar Benh Thanh yang dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

Berikutan sambutan luar biasa dari rakyat Malaysia, pasar itu diberi nama sebagai jalan Malaysia (Malaysian Street).

Mudah beli kelengkapan Aidilfitri

Sementara itu, Shamsul Nahar Sikandar, 48 pula berkata dia berasa teruja setiap kali membeli-belah di pasar Benh Thanh.

“Di Benh Thanh terdapat banyak kedai yang menjual barang selain kain iaitu tudung, telekung, cadar dan banyak lagi.

“Senang untuk saya membeli semua kelengkapan Aidilfitri di pasar (Benh Thanh) terus,” katanya yang sudah lapan kali ke Vietnam.

Kata Shamsul, keunikan pasar tersebut terletak pada peniaga Vietnam yang fasih bertutur Bahasa Melayu.

“Peniaga di sana juga sangat ramah, jadi urusan tawar-menawar lebih mudah,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Tambahnya, dia juga menempah baju raya di pasar berkenaan kerana lebih cepat disiapkan iaitu dalam tempoh hanya sehari.

“Saya memang selalu beli kain dan minta mereka (peniaga Vietnam) jahit terus.

“Ini kerana baju yang saya tempah akan siap dalam masa satu hari, tidak perlu pening kepala nak tempah selepas pulang Malaysia nanti,” katanya.

Lebih untung jika dibeli rakyat Malaysia

Peniaga kain dan baju kurung di Ho Chi Minh, Aminah Abdul Halim, 36, berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat rakyat Malaysia membeli-belah di kedainya.

Aminah yang merupakan peniaga hampir 10 tahun menjelaskan dia lebih peka terhadap pilihan fesyen yang digemari rakyat Malaysia.

“Saya akan jahit baju kurung mengikut fesyen orang Malaysia dengan harga berpatutan.

“Ini supaya orang (Malaysia) lebih suka memilih baju kurung di kedai saya,” katanya yang berketurunan Melayu Champa.

Aminah yang lebih dikenali sebagai Seena menjelaskan pendapatan yang diperoleh lebih lumayan apabila rakyat Malaysia berkunjung di kedainya.

“Sebelum bulan puasa (Ramadan), ramai orang Malaysia datang Vietnam. Saya memang dapat untung banyak dalam anggaran 50 peratus dari modal sendiri.

“Kain dan baju kurung memang laku, semua akan habis dijual,” katanya yang fasih bertutur bahasa Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS