ULASAN | Sempena ulang tahun kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada 9 Mei, ramai yang akan bersurah tentang pencapaian dan kegagalan kerajaan persekutuan baharu Malaysia. Namun, saya ingin mengimbas kembali tiga iktibar yang saya perolehi dalam tempoh ini, terutamanya dari sudut pandang sebagai salah seorang anggota pentadbiran buat kali pertama.
Pertama, rakyat tidak mengundi berdasarkan keperluan semata-mata. Ramai ahli politik berpandangan pengundi hanya didorong oleh keperluan ekonomi, jadi mereka menjanjikan pembangunan infrastruktur bagi mendapatkan sokongan. Bagaimanapun, pengalaman sebelum ini membuktikan bahawa rakyat tidak hanya pentingkan soal keperluan semata-mata.
Sebagai contoh, dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands Januari lepas, kita telah lihat pengundi dari Felda tidak mengundi kerajaan sedia ada manakala pengundi Orang Asli mengekalkan pola pengundian mereka untuk mengundi kerajaan. Mengapa ini berlaku? Saya merasakan mereka hanya meneruskan komitmen politik masing-masing. Cabaran untuk parti pemerintah hari ini adalah untuk memenangi akal dan hati pengundi, bukan hanya perut dan poket semata-mata.
Kedua, kita tidak boleh mengabaikan politik identiti. Untuk sekian lama, golongan progresif enggan membincangkan soal bangsa, etnik, agama, malah soal patriotisme. Oleh itu, perbincangan mengenai perkara ini didominasi golongan ekstremis. Di Malaysia, perbincangan sebegini dimonopoli parti pembangkang Umno dan juga PAS.
Dengan membiarkan perbincangan ini didominasi golongan itu, pihak progresif bukan sahaja gagal mendepani soalan kritikal yang timbul daripada isu penting ini tetapi juga terpaksa mengambil posisi bertahan (defensive) apabila mendebatkan perkara tersebut. Jelas sekali bahawa kita harus mengambil alih perbincangan ini daripada golongan ekstremis dan memberi fokus kepada akar kita yang kaya seperti Rukun Negara, Perlembagaan serta sejarah kita hidup bersama selama beratus tahun.
Ketiga, penjawat awam adalah faktor penting dalam merealisasikan manifesto pilihan raya. Apabila ahli politik dan parti politik bertarung ketika berkempen, mereka sering lupa bahawa manifesto yang dijanjikan mereka dirangka tanpa mengambil kira penjawat awam sebagai mekanisme penyampai utama kerajaan. Dengan barangkali menteri termuda dalam dunia menerajui Kementerian Belia dan Sukan, kami telah berjaya menggembleng tenaga penjawat awam bagi meraih pencapaian luar dari jangkaan sebelum ini.
Sebelum ini, bukan sahaja sesetengah segmen penjawat awam dipolitikan, malah Umno telah menjadikan penjawat awam sebagai sekadar pengantara, bukan tenaga utama dalam melaksanakan tanggungjawab penting yang biasanya diberi kepada kroni atau unit elit khas bagi mengambil jalan pintas kepada kerenah birokrasi sedia ada demi pelaksanaan yang lebih pantas.
Hari ini, melalui amalan pentadbiran baik seperti tender terbuka, melantik ahli parti dalam posisi strategik, membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mewujudkan unit integriti dalam kementerian dan mengambil semula kerja penjawat awam dari kontraktor swasta, KBS telah berjaya melaksanakan lebih banyak program pada kos yang lebih rendah. Sebagai contoh, melalui tender terbuka, penganjuran Le Tour de Langkawi dibuat pada kadar 30 peratus lebih rendah sebelum ini.
Satu lagi program, FitMalaysia telah dianjurkan dengan membelanjakan satu perlima daripada apa yang dibelanjakan secara purata sebelum ini. Ini kerana kami mengambil keputusan untuk menggunakan jentera kementerian sedia ada iaitu penjawat awam dan bukan kontraktor swasta seperti sebelum ini.
STEVEN SIM adalah timbalan menteri belia dan sukan.
Tulisan ini diterjemahkan sendiri oleh penulis dari tulisannya dalam bahasa Ingeris “Lessons learned from a year at Malaysia’s levers of power” yang diterbitkan South China Morning Post.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.