Peguam Najib Razak menafikan laporan berita yang mendakwa bahawa anak guamnya merakamkan swafoto menggunakan telefon bimbit dari kandang tertuduh semasa perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
"Jika mereka mahu berperanan sebagai estet keempat atau kelima, mereka tidak seharusnya berperangai seperti orang estet," kata Muhammad Shafee Abdullah.
Beliau juga memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib bukannya merakamkan gambar tetapi menggunakan mod swafoto kamera sebagai cermin.
Penjelasan itu dibuat selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkannya memberi sebab berkenaan selepas perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaran.
Terdahulu, Sithambaran memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporan berita bahawa Najib yang berada di kandang tertuduh merakamkan swafoto semasa prosiding.
Shafee terus membantah dan menjadikan seorang wartawan sebagai sasarannya.
"Ini melampaui batas, saya baru tanya (kepada) Najib sama ada dia mengambil swafoto sendiri, dia kata dia tidak lakukannya, tetapi dia melihatnya (kamera) sebagai cermin," katanya.
Ketika ini, Hakim Nazlan memaklumkan kepada Shafee bahawa terdapat laporan berita lain yang melaporkan Najib melakukan perkara hampir sama.
Sebagai rekod, Malaysiakini, The Edge dan Utusan Malaysia semuanya menerbitkan beberapa laporan yang hampir sama mengenai perkara itu.
Walau bagaimanapun, Shafee berkeras bahawa wartawan yang menjadi sasarannya itu sebelum ini bertanggungjawab kerana laporan organisasi berita lain adalah berdasarkan artikelnya.
Shafee kemudian mencadangkan kepada hakim untuk meminta Najib menjelaskan dirinya, dan ini dipersetujui oleh Hakim Nazlan. Tertuduh kemudian mengesahkan bahawa dia menggunakan telefon mudah alihnya sebagai cermin.
Walaupun berpuas hati dengan penjelasan itu, hakim, walau bagaimanapun, memberi amaran bahawa mereka yang mengambil gambar semasa prosiding pada masa depan akan berdepan dengan tindakan yang serius.
"Sesiapa yang ditangkap mengambil gambar di mahkamah terbuka, jika itu berlaku di masa depan, ia perlu ditangani dengan serius, termasuk menyerahkan telefon kepada mahkamah semasa prosiding.
"Mahkamah perlu dihormati. Lagipun, mahkamah menegakkan keadilan, dan pentadbiran menegakkan keadilan tidak harus diganggu," katanya.
Shafee kemudian meminta mahkamah untuk turut mengeluarkan "peringatan" kepada wartawan supaya tidak menulis artikel yang “bernilai sifar dan tidak benar”.
Hakim Nazlan berkata ini tidak perlu kerana wartawan terikat dengan kod etika mereka sendiri.
"Saya yakin (ini) tidak dilakukan dengan niat jahat. Cara telefon digunakan sebagai cermin memberikan bayangan swafoto diambil.
"Saya akan membiarkannya," kata hakim itu, sebelum membenarkan pendakwaan meneruskan keterangan saksi ke-35 mereka.