Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Pada 9 Mei tahun lalu, sejumlah 12,299,514 orang pengundi keluar untuk menentukan kerajaan bagi lima tahun yang seterusnya. Ini merupakan 82.32 peratus dari bilangan warga negara yang layak mengundi.

Pakatan Harapan telah mendapat 5,685,252 undi, dan mendapat mandat untuk menubuh kerajaan baru untuk mentadbir Malaysia.

Tahniah kepada PH dan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil alih tugas berat sebagai perdana menteri, untuk kali kedua, dan sempena ulang tahun pertama mentadbir negara.

Agenda pentadbiran cukup panjang dan mencabar, dan rakyat meletakkan amanah berat dan jangkaan yang tinggi kepada PH iaitu "The Alliance of Hope."

Tentu sekali rakyat telah, dan akan terus membuat penilaian akan prestasi PH, dari segi ahli-ahli pentadbiran secara individu dan kolektif, langkah-langkah yang telah diambil dan telah serta sedang dirancang dan apa perancangan-perancangan yang akan dilaksana.

Semuanya yang dijangka dan diharapkan oleh setengah-setengah pihak, perlu dilaksanakan secara selari, atau in parallel dan mereka akan menilai hasil prestasi dalam jangka masa setahun yang lepas, yang sebenarnya cuma merupakan 20 peratus dari jangka masa PH diberi mandat untuk mentadbir negara, iaitu selama lima tahun selepas PRU14.

Sebenarnya PH mewarisi pentadbiran serta keadaan negara yang sangat mendukacitakan.

Tiada siapa jua, yang sedar dan tahu akan keadaaan sebenarnya, akan menafikan bahawa kerosakan-kerosakan telah berlaku dalam beberapa aspek pentadbiran negara, hasil peninggalan kerajaan sebelumnya, dalam jangka masa lebih kurang satu dekad pentadbirannya.

Skandal demi skandal seperti pecah amanah dan rasuah mula terbongkar, dan sekarang sedang, dibawa ke muka pengadilan.

Sistem-sistem tertentu telah rosak. Budaya birokrasi telah dicemar oleh nilai-nilai negatif yang mencerminkan hakisan nilai-nilai yang baik dan positif , serta tergelincirnya haluan kompas di kalangan mereka yang telah mengabaikan tanggungjawab dan akauntabiliti.

Pendek kata, PH mempunyai agenda-agenda selari atau parallel, yang perlu ditangani. Ada yang boleh diimplementasi dalam masa terdekat.

Ada yang perlu siasatan mendalam, sementara ada dasar-dasar dan langkah-langkah baru, yang perlu dikaji secara mendalam dan terperinci sebelum dilaksanakan.

Sementara itu, ekonomi negara perlu diperkukuhkan, dan pertumbuhan ekonomi dirasai hasilnya, oleh semua peringkat rakyat, terutama di peringkat pendapatan rendah.

Semua ini memerlukan persekitaran yang mengalakkan. Perlu ada ketenteraman dan persefahaman di kalangan rakyat.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berazam, supaya kita sentiasa berusaha berfikir akan:-

• kepentingan negara dan rakyat

• kebaikan untuk generasi muda sekarang dan akan datang

Bersama-samalah kita berfikir sebagai warga Malaysia...berfikir seperti rakyat negara ini yang berkongsi aspirasi dan harapan yang sama.

Satu tahun hanya bersamaan 20 peratus daripada tempoh kerajaan di Malaysia. Kad Laporan PH hanya mencerminkan prestasi dalam masa satu tahun... bukan lima tahun penuh bagi tempoh mana-mana kerajaan.

Kita mesti membenarkan tempoh penuh lima tahun, seelum membuat sebarang penilaian dan keputusan mengenai kerajaan PH.

Insya-Allah, PH mampu memenuhi jangkaan rakyat, sebelum mereka sekali lagi memohon mandat dalam masa empat tahun pada PRU15.

Saya berdoa perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir dan kerajaan PH, dengan bimbingan Allah yang maha berkuasa akan membawa Malaysia kita kembali semula ke puncak kejayaan dan kecemerlangannya. InsyaAllah.

Sejahtera Malaysia kita.


TAN SRI RAFIDAH AZIZ adalah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Beliau pernah menerajui pergerakan Wanita Umno.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS