Paling Popular
Terkini

ULASAN | Selepas PRU ke-14, rakyat Malaysia berpecah kepada tiga kumpulan:

Kumpulan pertama

Bagi kumpulan ini, negara kita telah mencapai kemerdekaan kali kedua pada tahun 2018 selepas PRU ke-14 mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan BN yang mentadbir negara ini sejak kemerdekaan. Walaupun sudah setahun berlalu dan masih banyak janji-janji manifesto yang tidak ditunaikan serta beberapa keputusan kerajaan yang bersifat u-turn di samping kenyataan-kenyataan ahli politik daripada kerajaan Pakatan Harapan yang menderaukan darah, kesetiaan mereka pada kerajaan PH tidak tergugat sejak malam pertama kemenangan dalam PRU yang lalu.

Apatah lagi, kebelakangan ini perbicaraan kes bekas perdana menteri keenam telah mendedahkan penyelewangan wang ringgit yang angkanya bukan main besar serta usaha untuk mendapatkan semula duit daripada 1MDB sedang giat dijalankan. Bayangkan apa yang akan terjadi jika Najib & Co memenangi PRU yang lepas. Sampai kiamat kita tak tahu kewujudan duit berbilion-bilion yang didakwa masuk ke dalam akaun beliau.

Kumpulan kedua

Penganut kumpulan ini berpegang kepada sikap skeptikal; walaupun mereka mengundi Pakatan Harapan dalam PRU yang lepas, pembantaian masih dibuat secara terbuka jika apa yang dilakukan oleh kerajaan dianggap dua kali lima dengan kerajaan dahulu. Mereka juga tidak termakan dengan cerita-cerita pendedahan skandal wang berbilion ringgit di mahkamah atau hutang negara bertimbun trilion kerana itulah sebab mereka mengundi Pakatan Harapan. Mereka mahu kerajaan baharu menghentikan masalah ini dan tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji manifesto.

Adapun mereka ini, meskipun tajam kritikan dan pandangan terhadap parti yang diundi setahun lalu, mereka juga berpijak di bumi yang nyata. Tidak semua masalah boleh diselesaikan dalam masa setahun apatah lagi jika masalah itu dibuat oleh manusia yang memegang jawatan perdana menteri lebih kurang sepuluh tahun. Dalam kata lain, tak logik untuk selesaikan masalah sepuluh tahun dalam masa setahun. Jadi, kumpulan ini masih optimis dengan premis bahawa kerajaan Pakatan Harapan perlu diberi masa untuk menyelsaikan masalah yang menumpuk serta melakukan perubahan sebelum PRU yang akan datang.

Kumpulan ketiga

Mereka ini adalah antitesis kepada kumpulan kedua. Penganut kumpulan ini tak peduli kalau kerajaan tak ada duit untuk buat itu ini janji life goes on. Contoh terbaik menularnya kumpulan ini apabila mereka melenting apabila pemberian hibah Tabung Haji tahun ini terlalu sikit. Untuk mereka, tak kisahlah tabung haji defisit 4 bilion atau 10 bilion atau bagi hibah itu bertentangan dengan Akta Tabung Haji, janji hibah kena tinggi macam kerajaan dulu buat.

Kumpulan ini hidup dalam in denial atau lebih tepat delusional. Mereka lebih selesa hidup macam dulu; hanya berita baik-baik belaka saja yang mahu didengar walaupun berita itu akhirnya bertukar menjadi cerita dongeng yang diagungkan oleh jemaah ahli Dewan Rakyat yang membangkang kali ini. Sebab itu jangan pelik kalau ada orang sanggup hidup dalam toxic relationship - tahu pasangan klepet duit untuk berjoli dengan orang lain atau curang berpuluh kali tapi tak mahu putuskan hubungan atas macam-macam alasan. Yang paling biasa kita dengar alasannya ialah “saya masih sayangkan dia”.

Adapun kewujudan tiga kumpulan ini menurut pemerhatian saya adalah disebabkan berlakunya kesedaran besar-besaran ke atas janji-janji yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan. Berbanding PRU sebelum 9 Mei 2018, tiada desakan yang begitu besar dibuat kepada kerajaan untuk melaksanakan janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto. Mana yang tidak tertunai akan dijanji lagi untuk pilihan raya seterusnya dan senario ini tidaklah dapat dinikmati oleh kerajaan hari ini.

Dalam masa setahun sahaja, desakan agar semua janji manifesto ditunaikan kedengaran hampir setiap hari dan dieksploitasi oleh pembangkang dalam setiap pilihan raya kecil dengan meyakinkan rakyat bahawa mereka sudah “dikencing” oleh kerajaan Pakatan Harapan. Tuduhan ini membingungkan saya sebab seolah-olah pembangkang semasa menjadi kerajaan sebelum ini tidak gagal dalam menunaikan semua janji manifesto yang ditaburkan. Lebih dahsyat, ada yang mengatakan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 14 adalah satu tragedi kepada agama, bangsa dan negara.

Kalau nak cerita pasal tragedi, ia bergantung kepada individu dalam sesebuah situasi. Pada saya, ia memang satu tragedi kerana selepas 9 Mei 2018, barulah saya tahu bagaimana Tabung Taji dikerjakan sehingga defisit 4.1 bilion dan institusi-institusi yang diwujudkan untuk membela kepentingan rakyat dijarah duitnya untuk kepentingan peribadi.

Memandangkan sekarang bulan puasa, kita berniat baiklah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tersebut kononnya kemenangan Pakatan Harapan adalah tragedi kepada agama, bangsa dan negara. Mungkin beliau memaksudkan kemenangan itu adalah tragedi untuk bosnya yang kena turun naik mahkamah sambil perbuatan mengklepet berbilion duit rakyat ditelanjangkan kepada rakyat.

Pentingnya Tiga Kumpulan

Menyedari bahawa kesedaran manifesto dan penagihan janji-janji untuk ditunaikan adalah begitu penting sepanjang setahun yang lalu, kerajaan Pakatan Harapan perlu memastikan bahawa kumpulan pertama yang diceritakan di awal penulisan tadi tidak bertukar mazhab untuk empat tahun yang akan datang.

Tetapi yang lebih penting adalah memastikan kumpulan kedua dapat menghapuskan perasaan skeptikal dan curiga mereka terhadap keupayaan kerajaan untuk melakukan perubahan yang lebih baik kepada rakyat. Kerajaan perlu agresif dalam menunjukkan perubahan yang berjaya dilakukan serta memisahkan diri daripada mewarisi perangai kerajaan terdahulu. Jika dalam masa empat tahun yang akan datang ini kerajaan Pakatan Harapan masih sahaja gagal menunaikan janji dengan menyalahkan kerajaan dahulu, maka berbondong-bondonglah penganut kumpulan ini bertukar menjadi kumpulan ketiga dan akhirnya percaya bahawa lebih baik hidup di bawah kerajaan BN; setidaknya life goes on as usual walaupun duit habis disundal.

Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk kumpulan ketiga. Jika mereka memilih untuk terus hidup dalam penafian dan percaya kisah-kisah dongeng maka tiadalah guna untuk membawa mereka hidup dalam realiti. Kalau dapat ditunaikan semua janji dalam manifesto sekalipun, mereka akan percaya bahawa itu adalah tragedi kepada agama, bangsa dan negara!


ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguamcara dan peguambela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di twitternya @zharifbadrul6.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS