Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Daim: S'pura mungkin lengahkan masa isu air
Diterbitkan:  May 8, 2019 11:04 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin percaya bahawa Singapura mungkin akan melengah-lengahkan masa dalam pertikaian perjanjian air dengan Malaysia, memandangkan republik itu sedang membangunkan bekalan airnya sendiri.

Bercakap kepada South China Morning Post (SCMP), pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) memetik Perjanjian Air 1962 antara dua pihak yang akan berakhir pada tahun 2061.

"Perjanjian 1962 itu tamat pada tahun 2061. Kami percaya pada masa itu Singapura sudah berdikari dalam mengeluarkan bekalan airnya sendiri dan tidak lagi perlu membeli air mentah dari Malaysia.

"Jadi, mungkin Singapura cuba merundingkan pertikaian itu sehingga suatu waktu ia dapat menamatkan perjanjian itu tanpa kerugian," katanya, petik laporan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia menjual air ke Singapura pada harga yang terlalu murah dan akan menyemaknya semula.

Perjanjian 1962 menyebut Singapura boleh dibekalkan 250 juta gelen air mentah setiap hari dari Sungai Johor pada kadar harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen. Sebagai balasannya, Johor pula berhak menerima bekalan harian sehingga lima juta gelen air terawat, atau dua peratus daripada air yang dibekalkan ke Singapura, pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Peguam negara kedua-dua negara sedang membincangkan isu tersebut.

Selanjutnya, Daim dipetik SCMP berkata, kesediaan Singapura untuk datang ke meja rundingan bagi membincangkan mengenai isu tersebut menandakan "perkembangan utama" dalam hubungan yang lebih mesra antara dua negara jiran ini.

Mengenai rundingan air, Daim percaya Malaysia mempunyai beberapa "asas perundangan yang baik" yang memihak kepada perkara itu.

Ketika mengunjungi Singapura baru-baru ini, Daim teringat bertemu beberapa pemimpin negara itu dan menjelaskan kepada mereka faktor geografi kedua negara jiran ini tidak dapat diubah.

"Pada akhirnya saya berkata, kita adalah jiran, kita tidak dapat mengubah kedudukan geografi kita, kita perlu bersama dan jalinan hubungan kita saling berkait.

"Tiada apa yang boleh kita lakukan melainkan duduk dan berbincang supaya kedua-duanya mendapat manfaat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS