Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Silakan datang, tengok sendiri budaya Muslim China - Kedutaan
Diterbitkan:  May 7, 2019 8:44 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Kedutaan China di Malaysia hari ini menafikan laporan bahawa masyarakat Islam etnik Uighur di negara tembok besar itu dilarang menjalani ibadah puasa serta mengamalkan ajaran agama mereka.

Jurucakap kedutaan, Tang Tang berkata dakwaan sebegitu muncul setiap tahun sejak sedekad lalu tetapi dakwaan tersebut tidak disokong dengan fakta yang tidak dapat disangkal.

Selanjutnya, beliau menggesa supaya jangan mempercayai dakwaan tersebut dan mengalu-alukan rakyat Malaysia datang untuk melawat republik itu bagi menyaksikan sendiri kemajmukan budaya di China.

"Terdapat bidalan lama Cina yang menyebut khabar angin hanya dapat dihentikan oleh kebijaksanaan. 

"Kami berharap dan yakin rakan-rakan kami rakyat Malaysia tidak akan terpedaya oleh desas-desus atau mendengar maklumat yang berat sebelah.

Ramadan bulan bertuah, suci

"Kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk melawat China bagi mengalami sendiri budaya China yang kaya dan majmuk, termasuklah budaya orang Islam dan menyaksikan sendiri kehidupan sebenar Muslim di China," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Sambil menafikan khabar angin tersebut, Tang menjelaskan kerajaan China sebaliknya sentiasa memelihara prinsip kesetaraan antara kaum dan kebebasan beragama.

"Kami melindungi semua aktiviti keagamaan yang normal mengikut undang-undang. Bulan Ramadan adalah bulan yang paling bertuah dan suci bagi umat Islam.

"Kerajaan China menghormati sepenuhnya aktiviti agama dan adat istiadat umat Islam semasa Ramadhan. Khabar angin yang tidak berasas memang merupakan sebahagian daripada cubaan pihak anti-China untuk merosakkan imej China," tegas beliau lagi.


BACA BERKAITAN:

Ulama PAS: Ambil iktibar Uighur 'dilarang berpuasa'


Walaupun tidak menamakan pihak yang membuat dakwaan etnik Islam dilarang berpuasa, dipercayai kenyataan tersebut ditujukan kepada Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik yang menasihati supaya masyarakat Islam di Malaysia mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat Uighur di China yang didakwa dilarang menjalani ibadah puasa.

Sambil menggesa pengundi di Malaysia mengambil iktibar, Mokhtar berkata sekatan beragama sebegitu akan berlaku sekiranya kekuasaan politik diserahkan kepada orang kafir.

"Terkenang saudara seagama di Uighur China. Mereka dilarang berpuasa dan mengamalkan amalan agama mereka. Moga saudara saya di Malaysia mengambil iktibar.

"Begitulah nasib kita jika negara ini diserahkan kuasa politik kepada orang-orang kafir. Tak kira apa jenis kafir mereka itu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS