Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan PH 'mati' jika tidak mula kerjasama dengan penjawat awam - Daim
Diterbitkan:  May 7, 2019 12:12 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Di sebalik dakwaan oleh perdana menteri sendiri bahawa terdapat penjawat awam yang cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, salah seorang penasihatnya, mengingatkan mereka supaya mempercayai kumpulan itu jika ingin terus berkuasa.

Daim Zainuddin, dalam satu temu bual dengan South China Morning Post (SCMP) yang beribu pejabat di Hong Kong, bahkan berkata kerajaan akan "mati" jika ia tidak mula bekerja bersama dengan lebih 1.6 juta tenaga perkhidmatan awam.

"Sekarang kamu adalah kerajaan. Apabila kamu menjadi kerajaan, kamu perlu membuat kerja dengan baik. Kamu tidak boleh buat kerja sendiri-sendiri, penjawat awam adalah pelaksana, bukan kamu.

"Kamu merancang dasar, kemudian kamu kata (kepada penjawat awam) kamu  ambil alih. (Apabila) kamu tidak mempercayai mereka, mereka duduk sahajalah," kata bekas ketua Majlis Penasihat Negara itu yang dipetik dalam wawancara yang diterbitkan hari ini.

Beliau mendakwa ramai penjawat awam telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka mengenai pelantikan politik oleh menteri-menteri.

Walaupun tidak menolak dakwaan sabotaj oleh kerajaan, termasuk oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Daim berkata defisit amanah perlu diteruskan.

Penjawat awam, kata beliau, berkemungkinan besar akan menyokong kerajaan hari ini walaupun mereka hanya berkhidmat kepada satu kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata: "Itu saya tidak tahu (dakwaan sabotaj). Tetapi kamu perlu bekerjasama dengan (penjawat awam). Tanpa mereka [...] kamu mati.

"[...] Penjawat awam datang jumpa saya. Mereka kata 'Oh, menteri tidak mempercayai saya [...]' dan mereka (lantikan politik) menguruskan kementerian.

"Bagaimana mereka boleh menguruskan kementerian? Mereka orang luar. Saya beritahu menteri bahawa kakitangan awam telah berada di sini sejak (zaman) British. Apabila British datang ke sini, mereka bawa bersama perkhidmatan awam.

"Dan kamu cuba untuk membuang kami? Kamu tidak boleh."

Bekas menteri kewangan semasa tempoh pertama Dr Mahathir sebagai perdana menteri turut mengingatkan bahawa kakitangan awam dan keluarga mereka juga adalah pengundi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS