Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mazlan: Saya tak pernah lobi jawatan pengerusi Bersatu Johor

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang menegaskan dirinya tidak pernah melobi dengan Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan jawatan pengerusi Bersatu Johor.

Sebaliknya, beliau menjelaskan jawatan itu diamanahkan kepadanya oleh pengerusi Bersatu itu dengan surat pelantikan ditandatangani presiden parti, Muhyiddin Yassin.

“Jangan ada orang salah faham, salah anggap ingat saya yang meminta-minta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Duit Raya bersama Hotel M Suites di Johor Bahru, malam ini.

Mazlan berkata demikian ketika menafikan dakwaan kononnya beliau melobi untuk mendapatkan jawatan tersebut selepas digugurkan daripada barisan exco kerajaan negeri pimpinan menteri besar baru, Dr Shahruddin Jamal.

Sejak dilantik sebagai pengerusi baru menggantikan bekas menteri besar Osman Sapian, nama Mazlan tidak lekang daripada kontroversi kerana dilaporkan ramai ketua bahagian Bersatu di negeri itu tidak puas hati dengan pelantikan itu.

Semalam, sekurang-kurangnya 21 daripada 26 ketua bahagian Bersatu Johor dilaporkan telah menghadiri mesyuarat khas di ibu pejabat parti negeri bagi menyatakan sokongan terhadap Dr Sahruddin menjadi pengerusi baru.

Mesyuarat itu dipercayai turut dihadiri Dr Sahruddin, yang juga Adun Bukit Kepong.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS