Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan tekanan tapi tanggungjawab - Tengku Maimun
Diterbitkan:  May 6, 2019 7:16 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Ketua Hakim Negara wanita pertama, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan jawatannya bukan satu tekanan tetapi tanggungjawab yang akan digalas serta dilaksanakan sebaiknya.

Beliau mengakui isu jantina tidak timbul dalam jawatan yang digalasnya berikutan semua tugas perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Sejujurnya, saya tidak merasa tekanan. To me gender is not affected at all. Sama ada lelaki atau wanita, tanggungjawab sama harus dilaksanakan sebaik mungkin.

“Semuanya berbalik kepada rezeki dan saya bersyukur… dilantik sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama bukan satu isu dan tapi saya menganggap ia sebagai rezeki,” katanya pada sidang media rasmi selepas pelantikannya di pejabatnya, di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Wanita yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, mengucapkan rasa syukur apabila menerima jawatan tertinggi itu yang sekaligus mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara dan turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Di-Pertuan Agong dan bekas ketuanya, Tan Sri Richard Malanjum atas pelantikannya itu.

Beliau, yang berkahwin dengan peguam, Datuk Zamani Ibrahim dan dikurniakan empat anak, berkata, keluarga terutama suami adalah pendorong utama dalam kemajuan kariernya.

“Saya rasa bersyukur kerana beliau (suami) dan anak juga yang menjadi pembakar semangat, terutamanya suami yang sering mengingatkan untuk menjadi seorang hakim, legasinya adalah penghakiman yang dibuat.

“Dalam pembahagian masa antara kerja dan kerja rumah, saya juga bersyukur kerana dibantu oleh seorang sepupu yang telah tinggal bersama saya selama 30 tahun.

“Mungkin itu sebabnya saya dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya saya,” katanya lagi semasa ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara karier dan rumahtangga.

Diminta menceritakan kenangan pada zaman persekolahannya, beliau berkata tiada yang menarik untuk dikongsikan.

"Tiada yang boleh dikongsi kerana saya bukanlah pandai sangat mahupun nakal,” katanya sambil berseloroh.

Sempena Hari Guru pada 16 Mei ini, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada bekas gurunya di Kota Bharu, Seremban serta bekas pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Kepada soalan mengenai rancangan televisyen kegemarannya, Tengku Maimun berkata beliau tidak mempunyai masa untuk menonton sebaliknya masa yang ada digunakan untuk bekerja.

"Kita sebagai hakim tidak mempunyai masa untuk menonton televisyen. Tidak banyak masa untuk buat apa pun. Kita bekerja hingga lewat malam, awal pagi dan seterusnya,” katanya dengan berseloroh.

Tengku Maimun hari ini dikurniakan Surat Cara Pelantikan oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuatkuasa 2 Mei lepas.

Berkelulusan dari Universiti Malaya, Tengku Maimun memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS