Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir nafi kerajaan PH ada masalah dengan Raja-Raja
Diterbitkan:  May 6, 2019 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan kerajaan di bawah pimpinannya mempunyai masalah berkaitan hubungan dengan pihak istana, terutamanya dengan kerabat diraja Johor.

"Tidak, saya tak nampak ada sebarang (masalah), malah, saya telah berjumpa mereka dan Sultan Johor memandu sendiri kereta untuk menghantar saya ke lapangan terbang," katanya pada sidang media sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, telah memandu sendiri kereta Proton Saga model klasik untuk menghantar Dr Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selepas menerima menghadap perdana menteri di Istana Bukit Serene pada 10 Jan tahun ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan persekutuan mempunyai masalah dalam hubungannya dengan institusi raja-raja termasuk dengan kerabat diraja.

Beliau turut diminta mengulas kenyataan Tunku Mahkota of Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai TMJ, bahawa kebaikan yang telah dilakukan oleh ayahanda baginda, Sultan Johor, telah dilupakan.

“Saya tidak hendak komen mengenai Sultan, kerana jika saya berkata sesuatu, ia tidak baik. Tidak eloklah kerana baginda adalah sultan,” tambah beliau.

Tunku Ismail mendakwa keluarga diraja Johor telah menjadi mangsa “kempen memburuk-burukan nama baik mereka” dan dikritik secara tidak adil berhubung tanah yang terlibat dengan projek Sistem Transit Cepat (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura

Pada Sabtu, Sultan Johor telah menzahirkan kekecewaan baginda berhubung dakwaan kononnya kenaikan kos projek RTS adalah berpunca daripada tanah yang dimiliki baginda di Bukit Chagar, yang debelum ini dilaporkan telah ditukar milik kepada Sultan dua hari setelah baginda memperkenankan jajaran RTS.

Sultan dilaporkan bertitah kemudian bahawa baginda tidak pernah dimaklumkan bahawa tanah milik baginda terlibat dengan projek RTS dan menawarkan untuk memulangkan tanah itu kepada kerajaan secara percuma.

Mengenai isu "ketidakpuasan hati " mengenai pelantikan Mazlan Bujang, sebagai ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menggantikan bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata tidak ada anggota parti yang telah datang berjumpa beliau mengenai perkara itu.

"Mereka tidak datang berjumpa dengan saya. Pada kali terakhir saya berjumpa para exco Johor, mereka tidak ada mengadu apa-apa,“ kata Dr Mahathir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS