Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M, TMJ henti berbalah sempena Ramadan - PKR Johor
Diterbitkan:  May 6, 2019 5:45 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Bersempena bulan Ramadan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim menggesa supaya perbalahan terbuka antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim segera dihentikan.

"Saya menyeru kepada Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia dan Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) supaya bersempena hari baik dan bulan baik, bulan Ramadan ini agar hentikan perbalahan pendapat secara terbuka," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Hassan yang juga MP Pasir Gudang berkata tidak manis seorang negarawan seperti Dr Mahathir untuk "menyerang TMJ", manakala TMJ pula akan "hilang hormat" rakyat jika terus menentang seorang ketua kerajaan yang diundi melalui pilihan raya.

"Dr Mahathir adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan, tak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

"Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang karismatik, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat dari kalangan rakyat jika terus-terusan menentang secara terbuka Dr Mahathir seorang ketua kerajaan demokratik yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut berusia," katanya lagi.

Hassan berkata selaku pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan beliau mahukan jalinan baik hubungan antara pusat dan negeri supaya memudahkan menteri besar dan exco baru melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Saya bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan perhubungan ini.

"Sebagai anak Johor dan rakyat Malaysia saya berpendapat hubungan yang positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan pihak Istana Johor akan banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor dan menyelesaikan banyak masalah rakyat di negeri paling selatan Semenanjung yang mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar.

"Hubungan peribadi yang baik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskanda akan memudahkan kerajaan negeri Johor dengan menteri besar serta jemaah exco yang baru dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat," jelasnya lagi.


BACA BERKAITAN:

TMJ ini 'budak bodoh' - Dr Mahathir

TMJ bidas 'Kadir': Kalau nak habiskan kami cuba 110%

Dr M: Hanya rakyat boleh tukar PM

Sila, TMJ jawab amaran Dr M


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS