Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS: Ambil iktibar Uighur 'dilarang berpuasa'
Diterbitkan:  May 6, 2019 2:37 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik menasihati supaya masyarakat Islam di Malaysia mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat Uighur di China.

Katanya, masyarakat Islam daripada etnik minoriti di negara tembok besar itu dilarang untuk berpuasa dan mengamalkan amalan agama.

"Terkenang saudara seagama di Uighur China. Mereka dilarang berpuasa dan mengamalkan amalan agama mereka. Moga saudara saya di Malaysia mengambil iktibar.

"Begitulah nasib kita jika negara ini diserahkan kuasa politik kepada orang-orang kafir. Tak kira apa jenis kafir mereka itu," katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Sebagai rekod, etnik Uighur adalah penduduk Islam berketurunan Turki dengan dianggarkan 11 juta orang berada di bahagian barat China.

NGO Human Rights Watch berkata kerajaan China memantau ketat etnik Uighur serta mendakwa pihak berkuasa mengambil sampel biometrik dan baka DNA.

Kem tahanan atau sekolah vokasional

BBC pada Oktober 2018 melaporkan mengenai kem tahanan tersembunyi yang mendakwa menahan ribuan orang Islam tanpa bicara di wilayah Xinjiang.

Bagaimanapun, kerajaan China menafikan dakwaan tersebut berkata orang ramai secara sukarela menyertai "sekolah vokasional khas" yang bertujuan "memerangi keganasan dan fahaman pelampau agama."

Menurut laporan, selain masyarakat Uighur, kerajaan China juga mengambil tindakan tegas terhadap penganut Kristian.

Misalnya pada Disember 2018, BBC melaporkan sejumlah 100 penganut Kristian ditahan atas alasan "mengapi-apikan subversi terhadap kuasa negara", manakala New York Times pada 12 Januari 2018 melaporkan polis memusnahkan salah satu gereja terbesar di negara itu, yang terletak di wilayah Shanxi.

Sementara itu, Mokhtar mengajak generasi muda supaya mendaftar sebagai pengundi sekali gus bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pastikan anak-anak kita semua telah mendaftar sebagai pemilih. Untuk membolehkan mereka menjatuhkan PH yang didominasi oleh DAP dalam PRU15 akan datang.

"Jangan main-main soal memilih dan memangkah. Ia adalah soal agama dan kedaulatan bangsa.

"Jangan peduli dengan sesiapa yang berkata memilih dalam pilihan raya tiada kaitan dengan agama. Itu jahil dan bodoh namanya," jelasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS