Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Spekulasi mesyuarat ketua bahagian Bersatu Johor tolak Mazlan

Khabar berkenaan kemelut dalaman Bersatu Johor dihangatkan lagi dengan pertemuan pemimpin Bersatu negeri tengah hari tadi.

Menurut sumber, pertemuan itu melibatkan 23 daripada 26 ketua bahagian Bersatu negeri dan berkenaan bantahan terhadap pelantikan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang selaku pengerusi Bersatu Johor, dan mengekalkan bekas menteri besar Osman Sapian di jawatan itu.

Tiga ketua bahagian yang tidak dipanggil ialah Mazlan sendiri (Tebrau), Pagoh (Muhyiddin Yassin) dan Yaacob Atan (Pulai).

Beliau juga berkata sekurang-kurangnya lima bahagian membantah pelantikan Mazlan.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada ketua bahagian lain terbuka dengan idea mengembalikan Osma sebagai pengerusi negeri.

Osman tidak lagi menjadi pengerusi Bersatu Johor susulan peletakan jawatan sebagai menteri besar pada 9 April.

Pada 29 April lalu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Mazlan ke jawatan itu.

Pelantikan Mazlan di luar kebiasaan kerana menteri besar biasanya akan memegang jawatan sebagai pengerusi negeri.


BacaBersatu Johor ibarat retak menanti belah - Khaled


Seorang sumber yang dekat dengan Mazlan turut menyebut tentang pertemuan itu.

"Mesyuarat petang ini untuk menolak pelantikan Mazlan sebagai pengerusi Bersatu Johor yang baru," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga mendakwa Osman disokong "orang berpengaruh" dalam Bersatu Johor.

"Dia (Osman) cakap masih ada kuasa dan tangan ghaib di belakang dia ialah orang berpengaruh itu," katanya lagi.

Beliau juga berkata tidak dapat memahami mengapa orang berpengaruh itu mahu "berperang dengan Mazlan" kerana ia boleh memburukkan keadaan Bersatu Johor.

Bagaimanapun seorang ketua bahagian yang dikaitkan dengan Osman menafikan sebuah pertemuan diadakan untuk menolak pelantikan Mazlan.

"Setakat ini tidak ada, mungkin ia sekadar khabar angin.

"Pemimpin akar umbi Bersatu Johor menerima pelantikan menteri besar baru (Dr Sahruddin Jamal) dan Mazlan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Bersatu yang baru," katanya yang enggan dinamakan.

Mazlan antara tiga exco kerajaan negeri yang digugurkan selepas Sahruddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru.

Ia susulan syarat yang ditetapkan Sultan Johor - seperti yang dinyatakan Osman - agar menteri besar baru membuat rombakan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS