Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar kongsi gambar Tok Pa dibakar rakyat Jeli
Diterbitkan:  May 5, 2019 1:43 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Selepas lebih enam bulan, isu penghijrahan Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed ke Bersatu terus diperkatakan pimpinan Umno.

Terbaru, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa memuat naik satu video yang menunjukkan poster memaparkan gambar Mustapa dibakar oleh seorang individu.

Video berdurasi 47 saat itu disusuli dengan kenyataan Annuar berbunyi:

"Harap rakyat Jeli bersabar. Ketulenan pejuang hanya kita tahu bila diuji," katanya ringkas dalam catatan di Facebook, semalam.

Sebagai rekod, Mustapa pada 18 Sept tahun lalu mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu.

Katanya keputusan itu dibuat kerana beliau percaya hala tuju Umno tidak lagi selari dengan prinsip politiknya dan "tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi" secara dalaman.

Beliau kemudian mengumumkan menyertai Bersatu pada 26 Oktober.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataan berasingan di Facebook turut menyifatkan Mustapa sebagai pemimpin hipokrit.

Ia susulan kenyataan bekas menteri itu yang mengakui tidak selesa dengan kerajaan BN sebelum ini.

'Kejarlah pangkat tapi tak payah kencing'

Annuar berkata, ia kenyataan paling memualkan daripada seorang pemimpin yang sewaktu beroleh kedudukan umpama 'tikus jatuh ke beras'.

"Beliau yang mengepalai negeri, dan suami isteri menjadi pengapit terkanan pucuk pimpinan sewaktu itu (zaman BN). Bersuara pun tidak.

"Beliau juga dalam kabinet, juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri. Bertanding sampai dua kerusi. Beliau mengurus dana puluhan juta yang diambil sendiri daripada pucuk pimpinan.

"Beliau mengajar anak muda supaya memuja nama beliau dan 'team' beliau. 

"Nak kejar pangkat kejarlah (tapi) tak payah kencing (menipu) merata tempat," katanya yang juga anggota parlimen Ketereh.

Tambah Annuar, kemarahan orang kampung di Jeli terhadap Mustapa kini boleh difahaminya.

"Tentu mereka kecewa melihat sikap hipokrit seperti ini, sikap yang kita tidak menduga sama sekali," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS