Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Apa TMJ buat selari kemahuan PAS
Diterbitkan:  May 5, 2019 9:41 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Apa yang dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dirasakan selari dengan keinginan PAS yang dibawa melalui Gagasan Sejahtera, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Menurut Khairul Nizam, keadaan itu bermakna gaya pemikiran Tunku Ismail boleh diterima dan ia juga adalah pemikiran yang sama dengan PAS.

Katanya dalam sistem demokrasi Malaysia, negara ini turut didukung oleh institusi raja berpelembagaan dan mereka bukan sekadar menjadi ketua negara, malah tunggak kepada Islam.

"Di sini kita melihat Tunku Ismail memainkan peranannya dengan baik serta mampu menyatukan rakyat.

"Apa yang Tunku Ismail buat selari dengan apa yang PAS mahu bawa menerusi Gagasan Sejahtera.

"Maknanya gaya pemikiran Tunku Ismail ini diterima dan juga adalah pemikiran yang sama dengan parti," katanya seperti dilaporkan Sinar Online.

Khairil Nizam berkata, Tunku Ismail yang bukan asing lagi bagi rakyat di Johor merupakan pemimpin yang bagus selain mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan masyarakat.

Johor banyak sama dengan Istanbul

Katanya, jika diberikan ruang Pemuda PAS juga mempunyai pendirian teguh untuk memberikan kerjasama yang baik bersama kerabat diraja berkenaan.

"Saya yakin Tunku Ismail mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat negeri ini (Johor), bagi Pemuda PAS pula saya berharap kerjasama baik, mungkin Tunku Ismail boleh dijadikan model mengenal pemikiran rakyat negeri ini, sebab Johor ini lain sedikit.

"Saya juga berharap hubungan baik daripada PAS dan parti pembangkang lain dapat dijalinkan bersama Tunku Ismail," katanya yang dipetik selepas menghadiri Muktamar Pemuda PAS Johor di Johor Bahru semalam.

Terdahulu Ketua Pemuda PAS Johor Juwahir Amin berkata pihaknya - selaku bakal penyambung perjuangan PAS negeri itu - mempunyai gagasan besar yang akan diterjemahkan untuk mengangkat Johor sebagai Serambi Istanbul.

Menurutnya, Johor mempunyai latar belakang sejarah dan persamaan dengan Istanbul di Turki.

Antaranya melibatkan hubungan Kesultanan Johor dengan Khalifah Uthmaniyah bermula sejak 1885 lagi apabila empayar berpusat di Turki itu mengiktiraf sultan Johor.

"Saya berpandangan, melalui konsep mirror and matching, negeri Johor mempunyai banyak persamaan dengan sebuah bandar Islam yang maju iaitu Istanbul di Turki.

"Istanbul merupakan penghujung benua Asia di sebelah atas peta dunia.

"Johor merupakan bahagian terakhir benua Asia di sebelah bawah. Berhubung pula dengan Singapura yang menjadi pusat ekonomi, perdagangan dan perindustrian strategik Eropah sebelum masuk ke negara Asia Tenggara.

"Kedua-dua negeri ini adalah pusat dunia yang ‘memiliki’ timur dan barat," jelasnya seperti laporan harakahdaily.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS