Sebidang tanah yang direncanakan untuk Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) ditukar milik ke atas nama Sultan Johor hanya dua hari selepas baginda memberi perkenan untuk penjajaran semula projek itu.
Dalam temu bual eksklusif yang diterbitkan di New Straits Times pada 7 Ogos 2017, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan "keraguan serius" mengenai reka bentuk RTS berkenaan.
Sultan Johor mempersoalkan penjajaran asal yang merentasi Selat Johor.
"Ia mengganggu (pemandangan) kaki langit bandar, dan kita bercakap tentang binaan tetap di sini. Kembali ke papan lukisan dan tinjau rancangan keseluruhan.
"Pihak-pihak yang terlibat juga perlu berunding dengan saya, apa sahaja (rancangan baru) yang dibentangkan kepada saya, ia perlu logik, bersifat ekonomi, dan mampan untuk kepentingan bukan sahaja rakyat Johor tetapi semua rakyat Malaysia dan rakyat Singapura," katanya.
Baca: Sultan Johor sedia serah semula tanah Bukit Chagar
Sehari kemudian, Putrajaya bergegas untuk menangani kebimbangan Sultan Johor. Kemudian menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Rahman Dahlan berjanji untuk mengadap Sultan Johor.
Pada 17 November 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), yang ketika itu telah diserap ke dalam Kementerian Pengangkutan sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), membuat pengumuman.
Dalam pengumuman itu, Spad berkata pihaknya telah memohon mengadap Sultan Johor pada 19 Sept, dan mengambil kira maklum balasnya mengenai penyusunan semula itu.
"Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia telah bersetuju dengan pilihan jambatan tinggi 25m yang akan menyeberangi Selat Johor dengan garis lurus, sementara masih mematuhi garis panduan teknikal Jabatan Laut untuk sekurang-kurangnya 25 meter kelulusan draf udara.
"Baginda juga menekankan pentingnya ruang lalu lintas yang mencukupi di kawasan stesen RTS Bukit Chagar, dan Spad akan menangani perkara itu," katanya.
Hasilnya, dari anggaran awal sebanyak RM4 bilion, kos RTS meningkat kepada RM5.3 bilion.
Dua hari kemudian pada 19 Nov 2017, Lot PTB 23354 - sebuah kawasan seluas 4.5 hektar di Bukit Chagar yang akan digunakan untuk projek RTS - dipindahkan ke atas nama Sultan Johor.
Menurut semakan, Sultan Johor membayar RM0 bagi cukai tanah.
Kerajaan Johor sepatutnya memindahkan Lot PTB 23354 kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada tahun 2010 sebagai pertukaran tanah persekutuan di Tanjung Puteri untuk pembinaan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Bagaimanapun, laporan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Johor (pemilik tanah di Bukit Chagar) yang dilihat oleh Malaysiakini, menunjukkan bahawa pemindahan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan tidak pernah berlaku dan tanah akhirnya diberikan kepada Sultan Johor.
Satu lagi tanah 2.4-hektar bernama Lot 45419 - sebuah tanah bawah laut yang akan turut direntasi RTS - juga ada di bawah pemilikan Sultan Johor sejak 2014.
Perkara ini juga disahkan melalui semakan carian tanah, yang turut memaparkan cukai tanah adalah RM0.
Daripada RM5.3 bilion kos projek selepas disemak semula, kira-kira 13 peratus atau RM694 juta akan ditujukan sebagai pampasan kepada Sultan Johor untuk dua bidang tanah yang dimiliki SUltan Johor selepas penjajaran semula RTS.
RTS direncanakan untuk menghubungkan laluan rel MRT Thomson-East Coast Singapura dengan Johor Bahru di Malaysia.
Ia akan memberi laluan tambahan antara kedua-dua negara kerana laluan sedia ada terlalu sesak.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membeli semula tanah itu jika Sultan Johor membayarnya.
Bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan apa-apa wang untuk memperoleh tanah itu jika pemerintah Johor tidak membayar untuk pemilikan tanah itu.
Memandangkan projek itu juga melibatkan dua negara, Putrajaya mempunyai masa sehingga September sebelum memberi maklum balas kepada Singapura berhubung projek itu yang kini dihentikan kerana isu tanah.
Dalam perkembangan terbaru hari ini, kenyataan media setiausaha sulit Sultan Johor memaklumkan bahawa baginda tidak pernah dimaklumkan berhubung tanah yang dikatakan ditukar milik atas nama baginda.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Sultan Johor bersedia untuk menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan untuk pembinaan projek RTS tanpa sebarang kos.