Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anak cucu kami akan mati di sini, tapi kami takut ke Sandakan'

LAPORAN KHAS | Isu warga asing tanpa dokumen dalam arena politik Sabah adalah isu sangat sensitif. Ia dilihat mempunyai kaitan dengan penguasaan parti tertentu terutama Umno yang dibawa dari Semenanjung.

Umno suatu ketika dulu berjaya menguasai kerajaan Negeri Di Bawah Bayu dan membentuk kerajaan negeri sehinggalah mereka dinafikan daripada terus mendapat mandat pada 9 Mei tahun lalu.

Suatu ketika dulu Umno menewaskan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang majoritinya dianggotai masyarakat Kadazandusun-Murut.

Pembangkang ketika itu mendakwa kemenangan Umno Sabah banyak disumbangkan oleh "Projek IC" yang didakwa memberi kerakyatan kepada pendatang Islam dari Filipina Islam secara besar-besaran.

Projek IC dikatakan mengubah struktur sosial dan politik di Sabah dengan ketara.

Projek tersebut dikaitkan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Umno ketika itu. Bagaimanapun beliau berulang kali menafikan penglibatannya.

Pada 2012, Najib Razak - yang ketika itu menjadi perdana menteri - mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang haram di Sabah.

Laporan tersebut merumuskan - antara lain - bahawa "Projek IC" mungkin benar-benar wujud di negeri itu. 

Berkongsi masalah sama

Baru-baru ini calon PH untuk PRK Sandakan, Vivian Wong, berkunjung ke Pulau Berhala.

Menyertai lawatan itu ialah Menteri Alam Sekitar Yeo Bee Yin.

 Mereka datang untuk melancarkan kempen antiplastik dan membersihkan sampah-sarap yang memang dapat dilihat di merata-rata tempat di sekitar pulau berkenaan.

Namun, penghuni Pulau Berhala lebih berminat untuk mencuba nasib mengadu tentang masalah yang mereka hadapi, berbanding dengan kempen kesedaran alam sekitar itu.

“Kehidupan sini aman damai, tetapi semua orang ada masalah sama, iaitu tak ada dokumen,” kata seorang penduduk setempat kepada Malaysiakini.

Kebetulan ketika itu dia sedang menunggu kedatangan feri.

Mengulas perkara itu, Wong mengakui pihaknya belum meneroka pelbagai pilihan yang ada untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh.


Baca Orang Pulau Berhala yang wujud tapi 'tak kelihatan'


Bagaimanapun, katanya PH akan mengutamakan keadilan kepada semua pihak semasa menangani isu berkenaan.

“Kita nak memastikan keadilan. Semua rakyat Sandakan dan Sabah mahu melihat keadilan. Kita tidak boleh meminggirkan hak orang Sabah dan Sandakan,” katanya.

Untuk sementara waktu, kata Wong, keutamaannya ialah memberi kemudahan kepada kanak-kanak yang tiada kerakyatan untuk mengikuti pembelajaran di sekolah.

PH tak macam BN

“Kami tahu ramai anak-anak di sini tidak mendapat pendidikan sebab tiada dokumen. Mereka tinggal di sini.

"Orang ramai juga perlu faham, penyelesaian akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Kerajaan tak dapat selesaikan semua isu sekali gus," katanya.

Dia juga berkata PH - khususnya DAP - akan mencari sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan bantuan perubatan di Pulau Berhala.

Sementara itu, bagi calon pembangkang dari PBS, Linda Tsen menjelaskan pihaknya akan membawa isu kanak-kanak tanpa kerakyatan ke parlimen sekiranya diberi amanah menjadi wakil rakyat Sandakan.

Pemimpin PBS yang menjadi pencabar utama Wong dalam PRK Sandakan itu juga mengkritik PH kerana tidak berusaha menyelesaikan masalah sedia ada.

Katanya, ia berbeza daripada kerajaan BN sebelum ini yang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat pendatang tanpa dokumen.

“Memang kita nak melihat Sabah bebas pendatang tanpa izin. Seperti saya katakan dulu, isu ini menghantui orang Sabah sepanjang masa,” katanya.

Hal itu juga dikongsi salah seorang penduduk Pulau Berhala, Muslim Sali, 62, yang datang dari Pulau Tawi Tawi, selatan Filipina hampir 50 tahun lalu.

Kata Muslim, kini dia dan keluarganya menganggap Sabah - dan Malaysia - adalah negaranya.

Namun kata imam masjid Pulau Berhala itu, mereka sentiasa dibayangi ketakutan. Antaranya bimbang ditangkap pihak berkuasa kerana tidak memiliki sebarang dokumen diri yang sah jika berkunjung ke bandar Sandakan.

 

“Saya punya keluarga semua di sini, anak cucu kami akan mati di sini.

"Memang saya fikir ini tanah air saya di sini, tapi semua orang takut pergi bandar, hanya berkeliling Pulau Berhala untuk cari ikan.

“Mereka tak boleh masuk bandar Sandakan untuk jumpa saudara-mara dan kawan-kawan,” katanya.

Untuk rekod, jarak dari jeti tempat Muslim ditemu ramah dengan bandar Sandakan sebenarnya bukanlah jauh. Kedua-dua lokasi itu dipisahkan jarak hanya kira-kira 5km saja.

Kedua-dua tempat dihubungkan oleh perkhidmatan feri.

Walaupun begitu, bagi Muslim - dan penghuni lain yang senasib dengannya - Sandakan itu 'terlalu jauh' dan penuh dengan kebimbangan.

Perasaan dialami mereka mungkin seperti penulis buku Land Below The Wind pada 1939 dulu, Agnes Newton Keith.

Seperti Agnes dan tawanan perang British serta Australia yang mendekam di kem tahanan Pulau Berhala beberapa dekad silam, Muslim melihat Sandakan sebagai simbol kebebasan yang tak tergapai.

Siri 1: Orang Pulau Berhala yang wujud tapi 'tak kelihatan'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS