Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kaji isu kursus graduan tak sepadan pasaran kerja

Kerajaan sedang mengkaji langkah bagi menangani masalah graduan yang mengambil kursus yang kurang diperlukan dalam pasaran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, tujuh daripada 10 graduan ketika ini terlibat dalam kursus-kursus kemanusiaan.

Sedangkan, jelas Azmin, enam daripada 10 pekerjaan yang diperlukan adalah dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Jadi kita kena lihat balik sistem pendidikan negara kita. Output daripada sistem pendidikan itu akan mampu memberikan permintaan dalam industri-industri, yang itu kita fokuskan pada hari Rabu lepas,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai mesyuarat khas kabinet yang diadakan pada Rabu lalu, yang memerlukan menteri-menteri menyerahkan kertas dasar mereka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Azmin hari ini berkata ia tidak melibatkan semua kementerian dan hanya membincangkan isu-isu tertentu yang mendesak.

Katanya, kementerian yang membentangkan kertas dasar mereka merupakan Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.

“Tidak benar, ia merupakan mesyuarat khas kabinet yang diputuskan oleh Dr Mahathir, yang juga melibatkan semua KSU (ketua setiausaha). Dan hanya dua kertas dibentangkan yang menumpukan keperluan mengkaji konsep baharu untuk menyediakan pekerjaan untuk anak muda.

“Hari ini kerajaan ingin melihat apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan bagi graduan-graduan kita.

“Jadi kita bincang soal mismatch (ketidaksepadanan) yang berlaku dalam sektor pekerjaan dan pasaran hari ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS