Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kenal pasti tanah terbiar untuk diusahakan pekebun - Azmin

Kerajaan akan mengenal pasti tanah-tanah terbiar milik kerajaan yang tidak dibangunkan untuk digunakan bagi tujuan pertanian, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Menurut Azmin, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga sedang meneliti kaedah bagi memberi peluang kepada petani dan pekebun kecil mengusahakan tanah terbiar tersebut.

“Kita telah dapat taklimat dari ketua pengarah tanah dan penggalian persekutuan - yang telah memberikan pencerahan bahawa terdapat banyak tanah-tanah kerajaan yang terbiar, tidak dibangunkan selama ini.

“Daripada maklumat yang dikumpulkan, tidak ada perancangan ke atas tanah-tanah ini untuk beberapa tahun yang akan datang,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAO) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat mengenai perbincangan strategik antara kedua-dua kementerian hari ini.

Menurut Azmin dengan langkah tersebut ia diharapkan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil di samping menambah hasil pertanian negara.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata perbincangan strategik itu merupakan susulan daripada pembentangan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat pada 10 April lalu.

Salahuddin berkata, kedua-dua kementerian itu mempunyai peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan mengenal pasti hasil pertanian yang berpotensi untuk meletakkan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi negara.

“Kerjasama MEA dan MOA merupakan langkah pertama dalam membina sinergi antara kementerian agar tidak berlaku pertindihan fungsi dan pembaziran sumber.

“Sebagai contoh kepakaran penyelidikan yang ada di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) boleh menjadi panduan kepada penentuan tanaman-tanaman baru yang dapat mengeluarkan hasil tinggi dalam jangka masa lebih singkat,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS