TINJAUAN PRK SANDAKAN | Terletak hanya tiga kilometer dari pusat bandar Sandakan, suasana Kampung Sim Sim sejak Sabtu lalu bertukar sibuk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, dengan pengundian diadakan 11 Mei ini.
DAP terutamanya sangat aktif mengadakan program kempen di Kampung Sim Sim yang menjadi tumpuan kerana ia merupakan satu daripada dua daerah undi di Sandakan yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) lepas.
Bagaimanapun, kebanyakan pengundi di kampung atas air itu memberitahu Malaysiakini bahawa persoalan calon yang mereka akan undi pada 11 Mei ini bukanlah kebimbangan utama mereka.
Sebaliknya, yang menjadi kebimbangan mereka setiap hari adalah sama adakah rumah kayu mereka tidak akan roboh.
“(Rumah-rumah yang mengunjur) di bahagian laut, kebanyakan rumah-rumah penambahan baru. Tapi selalunya, rumah yang lama ni yang dari darat, kebanyakannya rumah-rumah yang lama. Jadi rumah-rumah lama ni, kalau kita buat rondaan, kita boleh nampak keadaannya.
“Saya sebagai penduduk kampung ni, saya tinggal di rumah papan. Papan ni dia punya fizikal bukan tahan selama-lamanya. Jadi apabila hujan, panas, dia akan reput.
“Itu antara satu masalah kita di sini. Orang tinggal atas air, masalah paling besar adalah tiang rumah. Tiang rumah tidak tahan, dia akan dimakan oleh kupang,” kata Penduduk Kampung Sim Sim, Mahathir Otu kepada Malaysiakini pada awal minggu lalu.
Seperti bandar Sandakan, Kampung Sim Sim dibuka pada 1880an ketika zaman pendudukan British sebagai sebuah perkampungan nelayan. Namun kebanyakan penduduk kampung kini telah meninggalkan sektor perikanan.
Dari pantai ke laut, kampung itu mempunyai 32 laluan kayu, masing-masing menghubungkan kira-kira 20 buah rumah kayu yang berdiri tegak di atas tiang kayu yang dipacak di atas lumpur.
Mahathir, yang menyifatkan dirinya sebagai nelayan kecil, berkata masalah terbesar mereka ialah rumah mereka dibina menggunakan kayu bulian Borneo yang lama kelamaan akan mereput.
Rakannya, Wahidul Yusri, 40, pula berkata kerajaan telah mewartakan Kampung Sim Sim sebagai kampung tradisi bagaimanapun terdapat beberapa rumah yang sudah menukar tiang kayu kepada tiang simen.
Namun kebanyakannya masih menggunakan tiang kayu kerana ingin mengekalkan Kampung Sim Sim sebagai kampung tradisi.
Seorang penduduk dari suku Bajau di Kampung Sim Sim, Latipa Mustapa, 60 tahun berkata tiang rumahnya hanya bertahan selama satu atau dua tahun sebelum ia perlu diganti.
“Tidak pernah (terima) kalau tiang, tapi kalau zink, biasanya pernah lah,” kata suri rumah itu.
Rumah, jambatan runtuh
Kekurangan bantuan untuk keperluan infrastruktur di kampung itu membawa kesan buruk kepada penduduk.
Mohd Hanizam, 38 turut berkongsi bahawa dia pernah melihat sendiri jambatan di kampung itu runtuh sebelum ini.
“Saya pernah nampak masa tu kita sedang periksa untuk baik pulih rumah, kita buat bancian untuk program e-kasih.
“Jambatan 10, jambatan simen roboh. Rumah paling hujung kena. Kita sudah lama lapor mengenai jambatan itu cuma kerajaan ambil tindakan lambat sikit. Jambatan tu roboh sekali dengan meter air,” katanya.
Mohd Hanizam turut menunjukkan kepada kepada Malaysiakini kesan retakan jambatan simen berkenaan.
Menurutnya, ia sangat bahaya dilalui terutamanya ketika musim perayaan seperti majlis perkahwinan.
Seorang penduduk lain Raimi Abdul, 47 pula berkata sebuah rumah pernah runtuh semasa lawatan seorang wakil rakyat.
"Rumah itu runtuh apabila (ADUN Tanjong Papat) Frankie Poon berada di sini semasa musim berkempen untuk pilihan raya umum ke-14 (GE14).
"Seluruh rumah runtuh, orang ramai berjaya lari," katanya.
Mohd Hanizam percaya insiden itu berlaku kerana tindakan lambat dari pihak berkuasa, yang mungkin terhalang dengan sistem birokrasi.
Menurutnya, Penduduk kampung sering meminta pertolongan daripada pihak berkuasa apabila merasakan rumah atau bumbung zink perlu diganti tetapi sebelum mereka dapat menerima bantuan, rumah mereka mungkin telah runtuh, katanya.
Rumah dicat biru BN
Malaysiakini melawat salah satu keluarga yang rumahnya runtuh Jun lalu dan mendapati mereka tinggal rumah kecil sementara mereka.
Imran Kumit, 69 tahun, berkata beliau dan keluarga anaknya - kira-kira 30 orang semuanya - tinggal di rumah berkenaan.
Imran turut mengadu bahawa hampir sejak setahun kejadian itu berlaku, kerajaan masih belum memberi sebarang bantuan.
Pesara itu juga telah menulis surat kepada Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta membuat laporan polis untuk manfaat Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Sekiranya kerajaan lama, okay, kerajaan baru sekarang, kita...," Imran tidak menghabiskan kata-katanya, lantas menggelengkan kepala.
"Ada pemimpin yang datang, tetapi mereka hanya datang untuk melihat keadaan. Mereka cuma kata 'Baiklah, okay' (menunjukkan mereka akan membantu), tetapi di manakah bantuan?" katanya.
Semasa lawatan ke Kampung Sim Sim, Malaysiakini melihat rumah lain yang diperbuat daripada papan lapis dan dicat dengan warna biru dengan tanda bersebelahan pintu bertulis "Pemulihan Rumah Program Gotong Royong 2017".
Ditanya mengenai perkara itu, penduduk kampung berkata rumah yang mendapat bantuan daripada kerajaan BN biasanya akan dicat dengan warna biru.
Namun bagi nelayan Junaidi Yusof, sepanjang hidupnya beliau tidak mendapat manfaat dengan menyokong BN.
“Ini masalah siapa yang dapat bantuan, siapa yang tak dapat bantuan, ini daripada pengurusan tadbir urus. Dia punya pengurus di kampung. Ada sebilangannya pilih kasih ataupun mereka tidak suka beri pada kita.
“Kebanyakannya di kampung sini, saya tengok dari BN, baik pulih dia ganti zink, tangki. Tapi saya satu tangki pun tidak pernah dapat.
“Sejak dari awal (bekas Adun Tanjong Papat) Raymond Tan, sampai sekarang, saya selalu sokong BN tapi saya tak dapat apa-apa bantuan.
"Itu kami berpindah sudah, masuk Warisan,” kata bapa kepada sembilan anak itu.
Junaidi juga meminta bantuan dari kerajaan baru seperti bot dan alatan menangkap ikan, tapi seperti kerajaan sebelum ini, beliau belum menerima apa-apa bantuan.
“Dengan kerajaan baru kita ada mohon juga, tapi belum dapat. Tengok lah macam mana. Kalau saya boleh tunggu, saya tunggu lah," katanya.