Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerja waktu malam tak boleh ditafsir secara literal - Menteri

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub percaya bahawa kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan menukar waktu bekerja bagi sektor tertentu kepada waktu malam sebagai satu kiasan.

Salahuddin berkata kenyataan itu tidak sewajarnya ditafsirkan secara tersurat (literal).

“Saya rasa Tun bercakap tu dalam banyak lapik bahasa supaya kita ni lebih inovatif sebenarnya.

“Kita (kerajaan) lebih memikirkan cara-cara yang terbaik untuk kita (rakyat Malaysia) maju ke hadapan.

“Saya tidak membaca itu hanya secara literal (bekerja) pada ‘waktu malam’ tetapi saya membaca itu bagaimana kita harus melihat masa depan dengan idea yang lebih inovatif dan bagaimana kita harus menggunakan setiap ruang untuk maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bilateral kementerian di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Salahuddin diminta mengulas 'cadangan' Mahathir semalam agar pekerjaan tertentu, yang memerlukan kerja di bawah panas terik ditukar ke waktu malam.


Baca: Sekarang boleh tanam padi waktu malam, sindir Dr M


Bagaimanapun, kenyataan itu dipercayai merupakan sindiran Mahathir terhadap sikap sesetengah rakyat Malaysia yang dilihat gemar memilih pekerjaan sehingga negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing.

“Yelah kalau dulu peribahasa, bidalan. Hari ini mungkin satu kata-kata yang mempunyai hasrat yang tersirat,” kata Salahuddin.

Pada masa ini jumlah pekerja asing di negara ini mencecah 7 juta orang dan setiap tahun mereka membawa keluar pendapatan RM60 bilion balik ke negara asal mereka. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS