Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekarang boleh tanam padi waktu malam, sindir Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipercayai menyindir sikap sesetengah orang Malaysia yang memilih-milih pekerjaan, sehinggakan ada yang tidak sanggup berpanas di bawah terik matahari.

Ini kata beliau menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing.

"Kerajaan fikir bahawa kalau kita fikir pada siang hari dan panas terik tak selesa kerja.

"Kita (PH) sedang fikir sama ada kita boleh alih masa kerja pada siang hari, waktu panasa tapi lakukan malam hari.

"Memanglah gelap pada masa malam. Tapi sekarang ni kita lihat orang kaya main golf malam, pasang lampu cerah-cerah. 

"(Jadi) tanam padi malam. Pasang lampu, tak ada panas terik," perlinya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tautan muhibbah parti Bersatu bahagian Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

Pemimpin berusia 94 tahun yang terkenal dengan sikap sinisnya itu berkata rakyat akan dapat membiasakan diri walaupun pendekatan menukar waktu kerja pada sebelah malam itu sukar untuk diterima pada mulanya.

"Kita tahu di sesetengah negara apabila datang bulan puasa, mereka siang tidur, malam kerja.

"Jadi kerja sebelah malam ni bukan satu luar biasa untuk kita. Supaya kita selesa. 

"Sekarang ini lampu boleh pakai LED, tak makan elektrik banyak," katanya.

Pada masa sama katanya terus menyindir, cadangan itu akan mengurangkan tekanan berbanding bekerja di siang hari.

Tambahnya, beliau berharap supaya rakyat bekerja keras untuk diri sendiri tanpa mengharapkan wang secara percuma.

"Amatlah hina kalau kita dapat duit tanpa kerja. Sebaliknya, kalau kita kerja dan dapat upah, adalah mulia dan halal.

"Kalau cuma terima duit percuma mungkin dari punca yang tak baik," katanya.

Katanya, jumlah warga asing yang datang bekerja di negara ini mencecah 7 juta dan setiap tahun mereka membawa keluar wang pendapatan sebanyak RM60 bilion balik ke negara asal mereka. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS