Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri kesal cadangan dialog pemimpin agama 'sangkut'
Diterbitkan:  May 1, 2019 5:59 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin meluahkan rasa kesal kerana kerajaan masih belum memberi maklum balas terhadap cadangannya menubuhkan satu platform dialog kebangsaan melibatkan para pemimpin pelbagai agama.

Menurut Asri, cadangan tersebut diutarakannya ketika pertemuan antara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P Ramasamy bersama Menteri di JPM Mujahid Yusof Rawa pada 30 Julai tahun lalu, susulan pertikaian isu pendakwah Zakir Naik dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Antara yang saya cadangkan semasa pertemuan tersebut yang kelihatan menteri bersetuju dan Dr Ramasamy juga menyokong penuh ialah satu platform dialog kebangsaan yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin pelbagai agama diwujudkan.

"Isu-isu yang membabitkan sensitiviti antara agama dibincangkan di situ terlebih dahulu.

"Ini bagi mengelakkan ketegangan antara rakyat dalam negara ini. Jakim dicadangkan mengendalikan hal tersebut. Menteri kelihatan sangat setuju.

"Dukacita, perkara itu tidak berlaku sehingga hari ini. Saya tidak tahu di mana 'tersangkut' hal itu," jelasnya.

Mufti Perlis berkata demikian pada hantaran status di Facebook berjudul: "Persetujuan yang terbengkalai."

Asri juga berkata setakat hari ini tiada langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan dalam mengendalikan isu-isu yang menimbulkan kegelisahan banyak pihak, khususnya umat Islam.

"Kenyataan demi kenyataan yang sensitif khususnya yang membabitkan Umat Islam kedengaran saban hari. Hampir setiap bulan bahkan minggu timbul isu-isu baru yang membuat banyak pihak gelisah khususnya Umat Islam.

"Tiada satu langkah proaktif yang dilaksanakan.

"Saya tidak pasti apakah pentadbiran berhasrat mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengawal keadaan yang ada?" Soalnya.

Pada Mac lalu, Mujahid mengumumkan penubuhan unit pemantauan kes menghina Islam yang diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Inisiatif menubuhkan unit ini yang diselia oleh Jakim bertujuan memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam di semua platform media termasuk media sosial," katanya.

Sementara itu, empat orang lelaki dijatuhkan hukuman penjara kerana menghina Nabi Muhamamd SAW dan Islam, dengan hukuman paling berat dikenakan melibatkan penjara 10 tahun dan 10 bulan pada 9 Mac lalu.

Seorang bekas jurugambar turut mengahadapi perbicaraan atas tuduhan menghina agama Hindu dalam hantaran di media sosial.

Awal pagi Ahad 29 April lalu, anak didik pendakwah kontroversi Dr Zakri Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu ditahan pihak polis atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni berkaitan agama dalam satu program diskusi agama di Perlis.

Muhammad Zamri ditahan selepas beberapa NGO agama Hindu membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur menghina agama berkenaan.

Terbaru pada minggu ini, SKMM menyoal siasat dua individu yang mengguna laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda serta kesucian agama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS