Polis mempertingkat kawalan keselamatan serta mengawasi pintu masuk di sempadan bersama Malaysia dan Thailand bagi mengelak dibolosi oleh individu yang mahu melakukan perbuatan keganasan di negeri ini.
Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata serangan pengganas yang berlaku di Sri Lanka dan New Zealand harus menjadi iktibar dan sehubungan itu beliau memberi jaminan untuk mempertingkatkan kawalan bagi mempastikan semua rumah ibadat di negeri ini selamat.
Katanya semua pegawai dan anggota telah diarahkan melaksanakan langkah perlu termasuk membuat pemantauan dan rondaan lebih kerap di kawasan yang berkemungkinan menjadi sasaran golongan pelampau.
Tindakan meningkatkan kawalan itu diambil berikutan arahan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador supaya semua negeri bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan serangan seperti yang berlaku di Sri Lanka dan New Zealand,” katanya kepada Bernama di Kangar.
Beliau berkata keadaan keselamatan di Perlis masih masih terkawal dan baik.
- Bernama