Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ragu ketelusan inkues Adib, Perkasa gesa tubuh RCI

Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban semasa rusuhan kuil November tahun lalu.

Ketuanya, Burhanuddin Ruslan berkata gesaan itu dibuat selepas pihaknya meragui integriti inkues yang ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian anggota bomba itu.

"Perkasa berpendirian RCI ini perlu ditubuhkan dengan segera kerana kredibiliti dan intergriti inkues ini dilihat sudah pun tercalar dan lebih teruk lagi mencemari institusi kehakiman negara.

"Sehubungan itu, Perkasa mendesak supaya menubuhkan RCI dengan segera bagi meneruskan siasatan ke atas kes ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bagi meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Burhanuddin berkata, laporan polis dibuat dua pakar forensik yang juga saksi dalam prosiding kematian Adib dikhuatiri merupakan campur tangan luar.

Katanya, ugutan diterima saksi-saksi berkenaan jelas menunjukkan mereka cuba dipengaruhi bagi memberi penilaian yang tidak tepat mengikut penelitian mereka.

Sementara itu, Burhanuddin turut mendakwa tindakan peguam negara, Tommy Thomas memfailkan afidavit berhubung kematian Adib sebagai tindakan tidak sepatutnya.

"Tindakan ini seolah-olah telah meletakkan satu keputusan tertentu mendahului keputusan inkues yang sedang berlangsung.

"Wira Perkasa juga mendesak supaya peguam negara, jangan bertindak mengikut 'rule of jungle' kerana negara mempunyai undang-undang dan rakyat sedang memerhati," tegasnya sambil menambah faktor-faktor ini amat perlu bagi penubuhan RCI berkenaan.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara. 

Susulan kematian beliau, Peguam Negara mengarahkan inkues ditubuhkan bagi menentukan sebab kematian allahyarham.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS