Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 18,000 orang dapat manfaat Sip Perkeso

Sebanyak 18,506 pekerja telah mendapat bantuan interim melibatkan jumlah bayaran RM18.8 juta sejak Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Januari 2018 sehingga Februari lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata kerajaan buat masa ini tidak bercadang menaikkan kadar caruman majikan dan pekerja bagi SIP yang merupakan antara yang terendah berbanding negara lain.

"Skim ini baru setahun dilaksanakan jadi kita tengok dulu 'progress' bagaimana, apa yang kita nak pastikan ialah ia dilaksanakan sebaiknya," katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Negara hari ini.

Mahfuz menjawab soalan Senator Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkaitan SIP termasuk adakah kerajaan akan menambah kadar caruman SIP iaitu 0.2 peratus (daripada gaji pekerja), masing-masing bagi majikan dan pekerja.

SIP dilaksanakan oleh Perkeso bermula 1 Jan 2018 bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan dengan bantuan kewangan sementara.

Sebelum ini dilaporkan terdapat lima faedah kewangan di bawah SIP iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Latihan (EL), Fi/Yuran Latihan (FL) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Menurut Mahfuz, 8,254 individu kembali mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang dengan bantuan Perkeso dan menambah skim itu tidak diperluas kepada sektor awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS