KES NAJIB | Perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta akan berlangsung dari 9 pagi hingga 3.30 petang sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula minggu depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk menetapkan pemasaan bagi perbicaraan tersebut sepanjang bulan puasa.
Hakim menetapkan perbicaraan bermula 9 pagi hingga 3.30 petang dan sepanjang tempoh itu mahkamah akan berhenti rehat selama setengah jam bagi mereka yang berkenaan makan tengah hari.
Terdahulu, Thomas mencadangkan agar perbicaraan bermula 9 pagi hingga 3 petang bagi membolehkan mereka yang berpuasa pulang awal dan membuat persiapan untuk berbuka puasa selain mencadangkan hakim boleh memberikan waktu rehat yang pendek.
Bagaimanapun, hakim mengusulkan agar prosiding bermula lebih awal dan Thomas bersetuju mereka boleh bermula pada 8.30 pagi.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mencadangkan agar perbicaraan bermula 9 pagi dan meminta mahkamah menetapkan tempoh rehat selama 30 hingga 45 minit bagi membolehkan yang bukan Islam makan tengah hari.
“Waktu rehat ini juga boleh digunakan oleh yang beragama Islam bersolat.
“Kita boleh tamatkan pada 3 petang, itu bukan isunya, tetapi kita tidak harus memaksa semua orang mengorbankan waktu rehat pada tengah hari,” katanya.
Mengenai satu lagi isu, Thomas memohon agar perbicaraan kes berkaitan SRC yang sedang berlangsung diteruskan dan mengambil tarikh-tarikh yang ditetapkan untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan bermula pada 14 Mei.
Thomas berkata pihak pendakwaan akan menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerahh yang akan mendengar kes 1MDB namun ia bergantung kepada jadual Mohd Nazlan.
Muhammad Shafee tidak membantah perbicaraan kes SRC mengambil tarikh-tarikh kes 1MDB kerana beliau mahu kes 1MDB itu bermula pada September.
Perbicaraan kes SRC berlangsung dari 3 April lepas hingga 10 Mei ini dan tarikh-tarikh lain akan ditetapkan kemudian.
Pada 5 April, Sequerah menetapkan 14 hari pada 14, 15, 17, 28, 29 dan 31 Mei; serta 10, 11, 12, 13, 14, 18, 20 dan 21 Jun untuk mendengar kes 1MDB.
Mohd Nazlan berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk meneruskan perbicaraan pada tarikh-tarikh berkenaan memandangkan kes melibatkan kepentingan awam bagaimanpun ia bergantung kepada Sequerah.
Thomas berkata pihak pendakwaan akan bertemu dengan Sequerah esok untuk arahan seterusnya.
-Bernama