Susulan bidasan dan kritikan daripada Putrajaya dan penyokong Pakatan Harapan, Annuar Musa tampil mempertahankan Istana Johor.
Setiausaha Agung Umno itu menyelar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kenyataannya mengenai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Annuar mengingatkan ketua Pemuda Bersatu supaya tidak keterlaluan dalam "membodek" bosnya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu.
“Mujurnya TMJ bertindak matang tidak melayani sikap kebudak-budakan ini.
“Syed Saddiq kononnya berjuang untuk rakyat…
“Baru berapa hari wahai Syed Saddiq kamu membela rakyat berbanding dengan kesultanan Johor yang sudah beberapa keturunan memayungi dan membela rakyat dan negeri Johor,” katanya dalam satu hantaram di Facebook.
Annuar yang juga adalah ahli parlimen Ketereh turut mengingatkan Syed Saddiq bahawa Bersatu hanya memenangi 13 kerusi parlimen pada pilihan raya umum lalu dan Pakatan Harapan tewas pada tiga pilihan raya kecil yang lalu.
“Bangga apa Syed Saddiq…,” soalnya.
Dan seperti lazimnya, pemimpin Umno itu juga menyerang DAP, yang menurutnya adalah kuasa sebenar di sebalik Pakatan Harapan.
“Kemenangan kamu juga kerana kamu sanggup menggadai maruah dan martabat Melayu dan Islam kepada DAP, yang telah berjaya memperalatkan parti kamu,” katanya.
Annuar juga menempelak menteri muda itu kerana mengheret Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke dalam kancah politik.
Dakwanya, sumbangan Tunku Ismail kepada bola sepak Malaysia jauh lebih besar daripada Syed Saddiq.
“Apa jasa kamu pada sukan Malaysia setakat ini?
“Kamu tidak harus menyeret FAM dengan politik kerana FAM adalah badan bebas politik.
“Apa lagi jasa TMJ dalam bolasepak jauh lebih banyak berbanding kamu sendiri,” katanya.
Semalam, Syed Saddiq mempersoalkan mengapa putera mahkota Johor itu tidak menggesa Najib Razak digantikan sebagai perdana menteri ketika Malaysia dilabel sebagai negara 'kleptokrasi'.
Sebaliknya, kata beliau, Tunku Ismail kini meminta Dr Mahathir yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu digantikan.
Beliau turut membandingkan tindakan Tunku Ismail meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan perdana menteri yang mahu memulihkan negara.
"Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang perdana menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta," katanya.