Presiden PKR menggesa warga Malaysia menggunakan media sosial untuk menegur pemimpin politik yang mengeluarkan kenyataan bersifat angkuh.
"Anda perlu teruskan peranan menyemak kami dalam parti pemerintah atau kerajaan. Kita tidak mahu mendengar kenyataan angkuh seperti dulu.
"Anda ada kebebasan dalam talian untuk mengkritik mereka sekuat yang anda mahukan," kata anggota parlimen Port Dickson itu ketika menyampaikan ucapan penutup Minggu Media Sosial malaysia ke-10 di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar juga berkongsi pengalamannya yang mula menggunakan Twitter susulan bebas daripada penjara tahun lalu.
Katanya, aplikasi itu menjadi alat pertukaran idea berkenaan reformasi untuk negara.
Mengakui tiada kebebasan yang bersifat mutlak, Anwar berkata warga Malaysia berhak mengkritik pemimpin yang bertentangan dengan aspirasi rakyat.
"Gaya hidup mewah, pembaziran sumber awam, mengkayakan keluarga dan kroni...anda menentangnya dahulu.
"Kami mengalu-alukan sokongan melalui kenyataan anda berkenaan dasar positif (kerajaan) dan juga kritikan ketika kami lembap atau menyimpang daripada apa yang kami janjikan," katanya lagi.
Media sosial untuk sebar kebencian
Anwar juga maklum bahawa media sosial boleh disalah guna untuk menyebar kebencian dengan menjadikan dua tragedi terbaru, serangan di masjid New Zealand dan pengeboman hotel dan gereja di Sri Lanka, sebagai contoh.
"Kerajaan cenderung ke arah reaksi berlebihan (overreact) dengan memperkenalkan lebih banyak undang-undang. Saya tidak rasa ia strategi yang betul.
"Tapi tentulah anda perlu ada undang-undang tertentu untuk memastikan media sosial tidak digunakan untuk melakukan keganasan, sama ada di Christchurch, Sri Lanka atau di mana saja," katanya lagi.
Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan sedang menimbang kemungkinan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam maklumat palsu dan berbaur perkauman di media sosial.
Beliau berkata ia adalah antara langkah yang dibincang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang menangani penyalahgunaan media sosial.