WAWANCARA | Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar berjaya mengurangkan kira-kira 18 peratus kos pembinaan rumah baru bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Menterinya, Rina Mohd Harun berkata pengurangan 18 peratus itu berjaya dibuat berdasarkan penggunaan teknologi Sistem Industri Bangunan (IBS) bagi pembinaan projek perumahan terbabit.
"Kita lihat dengan bajet dan keadaan kewangan kerajaan hari ini, bagaimana kita dapat membantu rakyat dan oleh sebab itu juga kita dibawah kementerian luar bandar kita telah menggunakan kaedah IBS dalam pembinaan baharu rumah PPRT.
"Dan dengan menggunakan kaedah IBS ini, kita telah mendapat pengurangan sehingga 18 peratus kos harga rumah," katanya.
Rina berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas sempena setahun Pakatan Harapan (PH) di bangunan kementeriannya di Putrajaya, semalam.
35,000 permohonan PPRT
Mengulas lanjut, Rina berkata tambahan sebanyak 235 buah rumah juga dapat dibina dengan peruntukan sedia ada yang diberikan kerajaan dalam projek PPRT itu.
"Dengan keadaan kewangan sedia ada, sehingga tahun lepas (2018), kita menerima hampir 35,000 permohonan rumah PPRT sedangkan peruntukan yang diberikan kerajaan kita hanya akan dapat bina sebanyak 1300 buah rumah sahaja.
"Bagaimanapun, dengan kaedah IBS yang digunapakai oleh kementerian luar bandar kita telah berjaya membuat tambahan 235 buah rumah baru daripada 1300 buah rumah sebelum ini," katanya.
Selain itu, menurut Rina yang juga anggota parlimen Titiwangsa itu, kementeriannya telah melakukan beberapa penambahbaikan dalam projek perumahan tersebut.
Kata Rina penambahbaikan projek PPRT itu turut mengambil kira saiz tangki air rumah yang lebih besar sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku masalah gangguan bekalan air seperti yang terjadi di Selangor hari ini.
"Walaupun kos pembinaan rumah ini lebih rendah namun ia sedikit pun tidak menjejaskan kualiti dan saiz rumah terbabit, malahan terdapat beberapa penambahbaikkan.
"Sebagai contoh, untuk rumah konvensional dia punya tangki air 80 liter tetapi untuk rumah yang baru ini tangki airnya 150 liter.
"Maklumlah sekarang ini di Selangor kita ada krisis air kan, maka dengan tangki yang lebih besar ini ia akan dapat beri manfaat kepada pemilik untuk menyimpan air dengan lebih banyak.
"Selain itu kita juga membuat rumah ini berkonsepkan mesra OKU,"katanya.
Kaedah IBS ialah kaedah pembinaan di mana komponen bangunan dihasilkan di kilang atau kawasan terkawal dan seterusnya diangkut dan dipasang di tapak pembinaan dengan menggunakan tenaga kerja yang minimum di tapak pembinaan.
Tempoh pembinaannya juga mampu dijimatkan sehingga empat hingga enam minggu berbanding tiga bulan secara konvensional.
PPRT IBS ini berkeluasan 660 kaki per segi dengan saiz 22 kaki x 30 kaki yang mempunyai tiga bilik dan tangki simpanan air 250 liter.
Rina berkata, melalui inisiatif ini juga, kementerian turut memperkenalkan program latihan industri di agensi seliaan kementeriannya bagi melaksanakan projek PPRT.
Jelasnya, institusi-institusi latihan ini akan berkerjasama dengan pihak kontraktor yang melaksanakan projek PPRT dengan memberi latihan dan menyelia para pelatih dalam kerja-kerja pembinaan rumah PPRT.
Program ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada pelatih dengan kemahiran serta pengalaman sebenar di tempat kerja.