RCI WANG KELIAN | Bekas Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata arahannya agar kem penyeludupan manusia dimusnahkan bukan bertujuan menghapuskan bahan bukti kes tersebut, sebaliknya agar kem itu tidak digunakan lagi oleh pendatang tanpa izin pada masa akan datang.
Pesara polis itu menjadi saksi ke-13 yang memberi keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian di Putrajaya hari ini, yang masuk hari kelima.
"Arahan memusnahkan kem itu bukan secara keseluruhan tetapi hanya bahagian tertentu.
"Saya tak bermaksud nak hapuskan bukti. Saya hanya suruh hapuskan seperti kanvas bahagian pelindung atas atau tempat bakalan air. Saya tak kata semua, dan tujuan musnahkan agar tidak digunakan semula," katanya.
Pada 27 Mac lalu Suhakam dan NGO Fortify Rights dalam laporannya berkenaan perkara itu berkata tindakan pihak berkuasa memusnahkan kem itu menyebabkan kurangnya bukti untuk membantu siasatan.
Laporan itu juga membangkitkan kelambatan penggalian kubur di sana - empat bulan selepas kem ditemui - menyukarkan pakar forensik untuk mencari punca kematian.
Dalam pendengaran RCI Khamis lalu, Komandan Kompeni Batalion B PGA Briged Utara DSP M Joeking memaklumkan arahan pemusnahan kem dan kubur di Wang Kelian dikeluarkan oleh Zukir dalam satu mesyuarat sebelum operasi.
Menurut Joeking sebelum keputusan dibuat, terdapat perbincangan lain dilakukan Zukir tanpa kehadirannya.
Zukir hari ini menjelaskan arahan pertama adalah untuk memeriksa penemuan "struktur tanah berbentuk kubur" yang ditemui berhampiran kem.
"Selepas itu di akhir arahan, baru saya ditanya mengenai kem penempatan sementara (pendatang tanpa izin). Saya suruh periksa struktur kubur dan baru musnahkan kem," katanya lagi, sambil menyatakan beliau berpandangan Joeking tidak menjalankan siasatan "sebetulnya".
Berhubung kelewatan siasatan, Zukir mengakui tiada koordinasi antara polis di peringkat awal siasatan.
Katanya, Bukit Aman mempunyai alasan tertentu kenapa siasatan tidak disegerakan tetapi beliau tidak tahu tentangnya.
"Apa yang saya masih ingat ketika sidang media bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, ketika ditanya kenapa tindakan lambat oleh polis, Khalid berkata 'kita perlukan masa untuk periksa kawasan itu'," katanya.
Dalam pendengaran sebelum ini, seorang bekas pegawai polis berkata beliau dilarang menjalankan operasi di kawasan itu manakala seorang polis berkata beliau diarahkan untuk tidak meneruskan siasatan selepas penemuan mayat pertama di puncak Bukit Wang Burma pada 6 Mac 2015.