Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Korban tragedi Sri Lanka meningkat 310 orang
Diterbitkan:  Apr 23, 2019 2:57 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

GLOBAL | Jumlah kematian akibat insiden pengeboman maut di Sri Lanka pada Ahad meningkat kepada 310 orang, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis pada Selasa.

Satu lagi letupan kecil berlaku di Kochchikade di ibu kota Colombo pada Isnin petang bagaimanapun tindakan pantas Skuad Pemusnah Bom berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.

Jurucakap Polis Ruwan Gunasekara berkata setakat ini 26 suspek telah ditahan dan operasi masih diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Katanya, langkah keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh negara dan menggesa orang ramai tidak berhimpun di tempat awam.

Orang ramai juga diminta segera memaklumkan pihak polis jika menemui bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di jalan raya atau di dalam pengangkutan awam.

Jurucakap kabinet Sri Lanka, Rajitha Senaratne, memberitahu pemberita pada Isnin polis sebelum ini dikatakan telah menerima maklumat kemungkinan berlaku serangan pengganas, namun tidak mengambil sebarang langkah pencegahan.

Kerajaan akan menyiasat perkara itu dan memohon maaf atas apa yang berlaku, katanya.

Presiden Maithripala Sirisena mengisytiharkan darurat dari tengah malam Isnin untuk memastikan keselamatan rakyat dan penyelenggaraan barang keperluan serta perkhidmatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS