Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan pindah kes Musa Aman didengar 6 Mei

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk memindahkan semua kes bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang menghadapi 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah dari Mahkamah Sesyen.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memaklumkan permohonan itu dibuat atas beberapa alasan, antaranya kes tersebut berprofil tinggi.

“Pihak pendakwaan membuat permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Jika digabungkan wang atau dana bagi kedua-dua kes tersebut melibatkan jumlah yang besar, maka kes-kes ini lebih sesuai di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa, memberitahu bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit berhubung permohonan itu.

“Jika dibenarkan pihak kami memohon tempoh 14 hari untuk memfailkan afidavit,” katanya dan mahkamah menetapkan 29 April untuk pihak pembelaan memfailkan afidavit.

Musa, 68, berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih US$37.8 juta dan SGD2.5 juta manakala 35 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak konsesi balak berjumlah US$63.3 juta (RM263 juta).

Bagi pertuduhan pertama pengubahan wang haram, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Barnes untuk menerima hasil dari aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun, 2006.

Musa juga dituduh atas pertuduhan alternatif bagi pertuduhan pertama iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes membuka akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Barnes untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil dari aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Pertuduhan kedua hingga ke-15, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang daripada individu dan syarikat melalui akaun atas Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Barnes ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang tersebut adalah hasil dari aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan kedua sehingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Musa juga menghadapi 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, sekiranya dapat dinilai dalam bentuk wang atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS