Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan barisan exco baru Johor akan dilantik esok.
Awal hari ini, Berita Harian melaporkan Muhyiddin bersama rombongan yang diketuai Menteri Besar Johor yang baru, Dr Sahruddin Jamal tiba di Istana Pasir Pelangi pada jam 10.50 pagi untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
"Tuanku (Sultan Ibrahim) telah memaklumkan bahawa menteri besar sampaikan senarai barisan exco yang akan dilantik semula pada esok hari dan diperkenankan.
"Saya berasa syukur ia barisan exco dipimpin oleh menteri besar untuk melancarkan pentadbiran negeri," kata Muhyiddin kepada pemberita.
Malaysiakini difahamkan bahawa majlis angkat sumpah barisan exco baru dijangka diadakan 8.30 pagi esok di Istana Bukit Serene.
Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene Ahad lepas menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.
Sehari sebelum itu, Osman memaklumkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan exco kerajaan negeri.
Bercakap kepada pemberita pada 17 April lalu, Dr Sahruddin memaklumkan bahawa rombakan barisan exco kerajaan negeri Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu.
“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih exco yang saya selesa bekerja dengan mereka...
“Insya-Allah kita akan lihat nama-nama itu (senarai baharu). Nanti saya umumkan...insya-Allah beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan,” katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan dengan memetik sumber bahawa antara exco sedia ada yang bakal digugurkan ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteriwangsa) dan Tan Hong Pin (DAP-Skudai), yang menurut sumber, kedua-duanya tidak disenangi istana.