Peguam Negara Tommy Thomas akan menyiasat soal pengguguran kes bunuh seorang warga emas terhadap pembantu rumah warga Indonesia tahun lalu, kata Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.
Sim yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata, ia selepas beliau menghubungi Thomas untuk meminta pejelasan berhubung perkara itu.
"Peguam negara berkata beliau akan menyiasat sendiri perkara itu untuk melihat langkah seterusnya yang boleh diambil.
"Saya percaya peguam negara dan sistem perundangan akan menegakkan keadilan. Saya menegaskan pendirian bahawa Malaysia memerlukan undang-undang yang lebih baik untuk melindungi pekerja asing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tahun lalu, kematian warga Indonesia, Adelina Jerima Sau, 21, di Bukit Mertajam akibat kegagalan organ dalaman menarik perhatian ramai.
Sim merupakan antara paling awal membangkitkan perkara itu, dengan memuat naik gambar Adelina yang dipaksa tidur di luar rumah bersama-sama anjing majikannya.
Dia juga dilaporkan didera majikan dan ditemui jiran dalam keadaan lebam dan bernanah. Dia dibawa ke hospital di sana tetapi meninggal dunia sehari kemudian.
Majikannya, Ambika MA Shan, 61, didakwa atas tuduhan bunuh. Bagaimanapun Free Malaysia Today semalam melaporkan Mahkamah Tinggi George Town membebaskannya selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepas tanpa dibebaskan.
Sim berkata beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai "tragik, seperti kematian Adelina".
Katanya, eksploitasi terhadap pekerja asing adalah pelanggaran hak asasi manusia dan masalha sosioekonomi yang akan memberi kesan negatif kepada pasaran kerja tempatan jika tidak ditangani.
“Hak asasi setiap manusia mesti dilindungi, tidak kira apa pun kewarganeraannya. Apa yang lebih penting kita mesti memastikan tragedi seperti itu tidak akan berulang di negara kita," katanya lagi.