Kedah mencatatkan jumlah peratusan penghidap diabetis tertinggi di negara ini sekali gus memberi cabaran besar kepada kerajaan negeri untuk memberi kesedaran dan mengubah cara pemakanan serta gaya hidup rakyatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri negeri, Dr Ismail Salleh berkata secara keseluruhan sebanyak 41.4 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini menghidap penyakit itu.
“Sebanyak 25.4 peratus yang menghidap diabetis berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, manakala dianggarkan 16 peratus lagi pesakit tidak berdaftar. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 41.4 peratus dan angka itu dilihat sangat tinggi.
“Jadi cabaran kita jauh lebih besar berbanding negeri lain dan sebab itu banyak pendekatan telah diambil oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi lain dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan dan pemakanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 di Alor Setar, hari ini.
Dr Ismail berkata, punca utama kadar peratusan yang tinggi itu adalah kerana pengambilan nasi secara kerap dalam pemakanan harian dan majoriti pesakit diabetes di negeri ini terdiri daripada golongan B40.
“Seperti yang kita tahu, Kedah merupakan pengeluar beras terbesar iaitu sebanyak 40 peratus. Pengambilan nasi pada sebelah pagi, tengah hari dan malam boleh menjadi punca kepada penyakit ini jadi saya berharap orang ramai mula sedar dan dapat menjaga pemakanan dengan baik,” katanya.
Hospital Pendang telan kos RM222 juta
Selain itu, beliau berkata diabetes atau penyakit kencing manis juga menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 65 peratus kepada masalah buah pinggang hingga menyebabkan pesakit perlu menjalani proses mencuci darah atau hemodialisis.
Sementara itu, mengulas mengenai status pembinaan Hospital Pendang, Dr Ismail berkata ia mengalami sedikit kelewatan berikutan masalah berkaitan jalan masuk ke hospital itu yang memerlukan peruntukkan tambahan sebanyak RM56 juta.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab membina jalan masuk ke hospital tersebut akan membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan.
“Kalau ikut, reka bentuk semua sudah siap tetapi kelambatan adalah disebabkan oleh tak boleh buat jalan dan longkang kerana kalau teruskan pembinaan juga tanpa ambil kira jalan dan longkang ini, kita bimbang contohnya kalau hujan lebat turun, kawasan tersebut boleh berdepan dengan masalah banjir,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan hospital tersebut telah berjalan sebanyak 10 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya dua tahun lagi, sekali gus akan dapat mengurangkan kesesakan pesakit di dua buah hospital lain di negeri ini iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Pembinaan Hospital Pendang yang menelan belanja RM222 juta itu telah bermula pada 7 Mei tahun lepas dan dijangka siap pada November 2021.
- Bernama