Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waytha: K'jaan perlu komited tangani isu Orang Asli

Isnin depan, Persidangan Orang Asli Kebangsaan akan diadakan di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mahu memastikan persidangan itu menandakan era baru yang akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Arang Asli.

"Kita perlu menangani cabaran yang dihadapi Orang Asli dengan bersungguh-sungguh.

"Sebagai golongan minoriti dan bangsa pertama di negara ini, pengiktirafan terhadap masyarakat yang terancam ini sangat penting," katanya kepada Malaysiakini.

Waythamoorthy juga maklum dengan tuduhan yang mengatakan kerajaan PH hanya membuat 'perubahan kosmetik' dengan persidangan itu.

"Orang Asli berdepan kepayahan berbanding yang lain kerana pencerobohan tanah adat mereka. Ini merupakan faktor yang menyebabkan kesengsaraan mereka kerana ekonomi dan budaya mereka bergantung dengan sumber alam," katanya.

Tambah Waythamoorthy, persidangan berkenaan akan menangani isu berhubung tanah adat dan keperluan mendapatkan kebenaran daripada mereka bagi pembangunan projek akan datang.

"Isu lain termasuklah pemuliharaan gaya hidup dan budaya mereka, keperluan dan infrastruktur asas juga akan dibincangkan," katanya.

Persidangan itu juga akan menyaksikan Tok Batin, pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar akademik mengetengahkan isu Orang Asli, dengan menyasarkan untuk merumuskan hala tuju baru yang menawarkan perkembangan ekonomi, kelestarian dan pemuliharaan budaya dan bahasa Orang Asli.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor menggesa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diletakkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Jakoa ketika ini diletakkan di bawah kementerian perpaduan kaum yang diterajui Waythamoorthy.

Ramli juga menolak khabar angin berhubung penamatan tugas Ketua Pengarah Jakoa Ajis Sitin, yang berkahwin dengan sepupu Ramli.

Jelas Waythamoorthy, dia tidak mahu dibataskan dengan isu seumpama itu.

"Apa pun yang terjadi sebelum ini, daripada interaksi saya dengan pegawai Jakoa, mereka semua bersemangat untuk membantu saya mengetengahkan agenda bagi mengangkat kedudukan sosio-ekonomi Orang Asli.

"Pelan tindakan dan program sebelum ini tidak memberikan hasil yang diinginkan, meskipun dengan hala tuju yang jelas diberikan dalam Kenyataan Dasar Mengenai Pentadbiran Orang Asli Semenanjung Malaysia 1961.

"Saya percaya kerajaan PH akan melakukan yang terbaik untuk mematuhi kenyataan dasar berkenaan yang digubal untuk menjaga dan membantu masyarakat Orang Asli," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS