Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik ECRL jelaskan 'maklumat mengelirukan'
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 11:12 PM
Dikemaskini: 3:42 PM

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang merupakan pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini menjelaskan 'kekeliruan maklumat' mengenai projek berkenaan.

Walaupun tiada nama disebut dalam kenyataannya, ia dipercayai merujuk kepada kebimbangan mengenai projek yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Menjawab dakwaan bahawa jajaran baru ke selatan menyebabkan waktu perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur meningkat kepada lima hingga enam jam, MRL berkata ia sebenarnya hanya mengambil masa kurang daripada empat jam.

"Di bawah Jajaran Selatan baharu, jarak perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya Sentral adalah 550km yang merangkumi 17 stesen. Manakala, jarak perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak di bawah jajaran sebelum ini adalah 525km dengan 18 stesen.

"Dengan kelajuan 160km sejam, tambahan jarak 25km menambah masa perjalanan ke destinasi kurang dari 10 minit, di mana ia akan dikurangkan dengan pengurangan satu stesen," jelasnya.

Menurutnya, tiga laluan tren sedia ada di Putrajaya Sentral termasuk servis MRT2, ERL dan KTM (Komuter & ETS) membolehkan penumpang yang ingin ke Kuala Lumpur, KLIA dan ke arah utara membuat pilihan mereka berbanding laluan di Gombak.

Tiada risiko keselamatan negara

MRL menyangkal dakwaan bahawa usaha sama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam Mengurus, Mengendali dan Menyelenggara (MOM) akan menyebabkan 50 peratus pemilikan ECRL diserahkan kepada syarikat milik Beijing itu.

"Kita perlu ketahui perbezaan di antara pemilik dan usaha sama. Usaha sama pengoperasian tidak sama sekali melibatkan isu CCCC sebagai pemilik projek ECRL. 

"Ia adalah berkenaan dengan perkongsian kos MOM dan kepakaran antara CCCC dan MRL. Kerajaan Malaysia akan memiliki kesemua aset ECRL melalui MRL dari awal usaha sama MOM sehingga tamat," katanya.

MRL juga menegaskan usaha sama itu tidak akan tidak akan mengundang kepada risiko keselamatan negara kerana syarikat usaha sama ini akan berada di bawah pengurusan Malaysia.

"Manakala, pelantikan Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikatusaha sama ini akan ditetapkan oleh MRL," tambahnya.

MRL juga mengulas dakwaan bahawa pengurangan kos ECRL didorong oleh pengurangan stesen dan keputusan untuk tidak membina terowong sepanjang 18km yang melalui banjaran Titiwangsa.

MRL berkata pada asalnya, keseluruhan kos bagi Fasa 1 & 2 projek ECRL adalah RM65.5 bilion termasuk landasan berkembar. 

"Ini adalah termasuk terowong bernilai RM10 bilion (Terowong Genting) yang melalui banjaran Titiwangsa. 

"Jika Terowong Genting tidak dibina, kos keseluruhan projek adalah RM55.5 bilion," jelasnya.

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan akan meneruskan projek ECRL pada kos RM44 bilion. 

Projek itu pada asalnya dianggarkan oleh kerajaan BN sebelum ini melibatkan kos RM55 bilion.

Tidak lama selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan projek itu boleh mencecah sehingga RM81 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS