Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Terowong takkan rosakkan Rabung Kuarzit Klang Gates'
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendakwa pembinaan terowong merentasi Rabung Kuarzit Klang Gates dalam perancangan asal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan menghancurkan rabung kuarza tersebut.

Malah menurut ketua pemudanya, Shahir Adnan yang juga merupakan seorang saintis geologi, pembinaan kawasan perumahan adalah lebih mengancam rabung kuarza tersebut kerana menyebabkan masalah hakisan berbanding pembinaan terowong.

“Sebenarnya, laluan asal tersebut tidak akan menghancurkan struktur 16km ini kerana pembinaan terowong dilakukan dengan saiz yang minima untuk laluan tren sahaja.

“Ancaman sebenar kepada Klang Gate Ridge adalah pembinaan perumahan di sepanjang Gombak ke Ampang yang kian menghakis struktur geologi ini di atas permukaan bumi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa jajaran baru ECRL diputuskan bagi mengelakkan struktur rabung kuarza tulen terpanjang di dunia tersebut.

Mengikut jajaran lama, Terowong Genting sepatutnya dibina sejauh 17.8km bagi menghubungkan kawasan Bentong dan Gombak.

Selain itu, Shahir turut menolak dakwaan bahawa laluan baru lebih baik kerana tidak akan melalui zon sesar (fault zone), khususnya Bukit Tinggi Fault.

Zon sesar merujuk kepada kawasan yang mengandungi rekahan yang terbentuk apabila dua plat daratan bergerak menjauhi, mendekati atau bergeser sesama sendiri.

Katanya, isu zon sesar tidak seharusnya menjadi kerisauan bagi rakyat Malaysia.

Malah, katanya lagi, jajaran baru ECRL juga akan melalui zon sesar seperti Lebir, Lepar, Bentong, Kuala Lumpur dan terbaru adalah Putrajaya-Seremban.

“Oleh itu, perbahasan struktur Bukit Tinggi Fault tidak boleh diguna pakai kerana laluan baru akan melalui tambahan Putrajaya-Seremban Fault.

“[...] Gempa bumi hanya berlaku apabila zon sesar diaktifkan disebabkan oleh tenaga dalam bumi yang dilepaskan. ECRL tidak akan mengaktifkan zon sesar ini,” katanya lagi.

Oleh itu, Shahir menolak anggapan bahawa jajaran baru ECRL diputuskan kerana faktor gelogogi dan alam sekitar, sebaliknya beranggapan ia hanya satu langkah politik semata-mata.

“Kita harap kerajaan Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat,” tambahnya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS