Rombakan barisan exco kerajaan negeri Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.
Beliau berkata penyusunan barisan exco masih diperincikan lagi.
“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih exco yang saya selesa bekerja dengan mereka...
“Insya-Allah kita akan lihat nama-nama itu (senarai baharu). Nanti saya umumkan...insya-Allah beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan exco kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam senarai berkenaan.
Dr Sahruddin, yang juga Adun Bukit Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan barisan exco kerajaan negeri Johor yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua exco lama iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.
Mazlan merupakan Adun Puteriwangsa daripada Bersatu dan Tan merupakan Adun Skudai daripada parti DAP.
Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene Ahad lepas menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.
Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ada menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan exco kerajaan negeri.
- Bernama