Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan mereka membuat serbuan dan menahan tiga anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ketika gerakan tersebut mengadakan program pada 6 April lalu.

Menurut Pengarah JAINJ Md Rofiki Shamsudin, ketika serbuan kumpulan terbabit sedang mengadakan seminar “Kejatuhan Dan Kebangkitan Khalifah Menentang Ancaman Liberalisme” di pejabat mereka di Johor Bharu.

Kata Md Rofiki langkah tersebut diambil kerana ada individu yang mengajar agama tanpa mendapat tauliah daripada pihak berkuasa negeri.

“Dia mengajar agama tak ada tauliah.

“JAINJ buat pemantauan macam biasa. Kami memang selalu buat pemantauan tanpa arahan daripada mana-mana pihak.

“Justeru sesiapa yang mengajar agama tanpa tauliah di Johor ini memang menjadi kesalahan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan dakwaan HTM bahawa program mereka hampir dua minggu lalu diserbu JAINJ dan tiga anggota mereka ditangkap.

Individu yang ditahan itu dikenali sebagai Dr Salehuddin Ibrahim, 51; Dr Norazlan Shah Osman Basah, 35; dan Sallahuddin Mashkuri, 39.

Kata HTM, mereka ialah ahli panel dan moderator seminar.

Jurucakap HTM Abdul Hakim Othman berkata pergerakan itu mengutuk sekeras-kerasnya tangkapan berkenaan kerana mendakwa ia merupakan kali pertama dibuat sejak mereka bergiat di Johor awal 2000.

Md Rofiki berkata tangkapan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003 kerana mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai isi kandungan program tersebut dan hanya memaklumkan bahawa Johor masih belum memfatwakan HTM sesat.

Untuk rekod, HTM difawakan sesat di sejumlah negeri di Malaysia, antaranya Selangor dan Negeri Sembilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS