Populasi badak sumbu Sumatera tidak lagi dikesan di negeri ini berdasarkan kajian dijalankan di Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata kementeriannya melalui Jabatan Hidupan Liar telah menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Borneo Rhino Alliance dan Tabung Alam Dunia (WWF) Malaysia.
Katanya menerusi kerjasama itu, kajian populasi badak sumbu Sumatera dijalankan di dua kawasan itu dan Hutan Simpan Ulu Malua yang dahulunya dikenal pasti mempunyai populasi hidupan liar itu.
Menurutnya kajian ini bermula sejak 1978 semasa 'Faunal Survey of Sabah' dimulakan dan masih dijalankan sehingga sekarang.
Liew berkata antara kaedah kajian ialah menjelajah di hutan untuk mengesan kehadiran badak dan juga memasang perangkap kamera.
"Bagaimanapun kajian tersebut tidak menemui kesan kaki dan merakam gambar badak sumbu Sumatera. Ini bermakna kawasan itu tidak lagi mempunyai populasi badak sumbu Sumatera," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) yang bertanya laporan penemuan tapak kaki badak sumbu Sumatera selepas 2016 dan langkah yang dapat dilakukan untuk mengembalikan semula habitat hidupan liar itu.
Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata berdasarkan kajian itu, Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin masih lagi sesuai sebagai habitat badak sumbu Sumatera.
- Bernama