Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hizbut Tahrir dakwa JAINJ serbu program, tahan 3 ahli
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mendakwa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu programnya pada 6 April lalu.

Jurucakap HTM Abdul Hakim Othman mendakwa serbuan itu dibuat ketika pihaknya mengadakan program seminar bertajuk "Kejatuhan dan Kebangkitan Khilafah Menentang Ancaman Liberalisme di pejabat gerakan itu di Johor Bahru.

"Tiga orang anggota HTM telah ditahan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Mereka ialah Dr Salehuddin Ibrahim, 51, Dr Norazlan Shah Osman Basah, 35, dan Sallahuddin Mashkuri, 39.

"Mereka ialah ahli panel dan moderator seminar," katanya dalam kenyataan semalam.

Abdul Hakim mendakwa ketiga-tiganya kemudian direman selama tiga hari di Pontian dan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada 2 Julai ini.

Beliau berkata HTM mengutuk sekeras-kerasnya tangkapan itu dan mendakwa ia merupakan kali pertama sejak gerakan itu bergiat di Johor bermula awal 2000.

"HTM telah banyak kali mengadakan seminar di Johor secara terbuka tanpa sebarang masalah dan sering melakukan seruan terbuka selepas sembahyang Jumaat di banyak masjid sekitar negeri ini," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi JAINJ untuk mendapatkan komen.

Untuk rekod, Hizbut Tahrir difatwakan sesat di sejumlah negeri di Malaysia, antaranya Selangor dan Negeri Sembilan (proses pewartaan).

Menurut risalah dalam laman rasmi JAINJ pula, Hizbut Tahrir juga termasuk dalam kategori ajaran sesat (senarai 1979-2017).

Pada 5 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan semakan kehakiman gerakan itu untuk mencabar fatwa pengisytiharan sesat di Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS