Paling Popular
Terkini

Program Food Bank Malaysia, yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan penuntut institusi pengajian tinggi awam, sudah memanfaatkan 85,489 penerima dari Ogos tahun lalu sehingga Mac 2019.

Ia antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hampir setahun lalu.

Program itu, yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Dis 2018, menyasarkan lebihan makanan seperti roti, sayur dan buah-buahan dari beberapa pasar raya besar diagih kepada 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara.

Dengan akses kepada bekalan makanan itu, mereka boleh menjimatkan perbelanjaan pembelian makanan, dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna untuk perkara penting lain seperti pendidikan dan kesihatan.

Pelaksanaan program berkenaan juga dapat menyelamatkan 1,156 metrik tan lebihan makanan sejak ia dilaksanakan.

Selaras bantuan

Bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat program murni itu wajar diperluaskan dengan KPDNHEP menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

“Ini merupakan usaha yang amat baik. Inisiatif sebegini juga digembleng beberapa pihak sebelum ini tetapi dalam skala kecil bagi membantu golongan kurang bernasib baik, gelandangan serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang adakalanya terpaksa ‘mengikat perut’ kerana masalah kewangan.

“Apabila KPDNHEP mengetuai usaha ini, pasti lebih mudah untuk mendapat kerjasama pasar raya besar, hotel dan sebagainya. Ini secara langsung memberi kelebihan apabila ramai pihak terlibat dan lebih ramai yang dapat dibantu,” katanya kepada Bernama.

Bagi tujuan penambahbaikan, beliau berjarap program itu dapat diselaraskan bagi mengelak pertindihan bantuan sama kepada golongan sasaran.

Ini termasuklah kerjasama kementerian dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat di setiap negeri yang turut menghulur bantuan kepada golongan asnaf dan miskin.

“Melalui pelarasan dan data yang diperoleh daripada badan-badan terlibat, bantuan boleh dipelbagaikan selain memperluas jumlah penerima. Contohnya, Food Bank memberi bantuan makanan, JKM dan pusat zakat pula boleh mengagih bantuan dalam bentuk pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya.

Konsep ‘mesra manusia’

Pensyarah Perniagaan Antarabangsa dan Firma Multinasional di Hiroshima City University, Jepun, Prof Madya Dr Nurhaizal Azam Arif pula melihat Program Food Bank Malaysia sebagai inisiatif yang sememangnya dapat meringankan beban mereka yang tidak mempunyai pekerjaan selain mengurangkan pembaziran makanan.

Ia juga secara tidak langsung mengembangkan konsep perniagaan kepada langkah ‘mesra manusia’ dan ‘alam sekitar’.

“Ramai yang terbuka untuk ‘memberi’, sekali gus mengekang unsur pembaziran makanan yang tidak terjual dan akhirnya dibuang begitu sahaja,” katanya.

Beliau juga menggesa pelbagai pihak supaya turut serta dalam program seumpama itu termasuk menjadikannya sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ditanya mekanisme lain yang sesuai dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan sekali gus mengurangkan bilangan B40, Nurhaizal Azam berkata untuk jangka masa pendek, sistem baucar bagi barangan asas serta keperluan pendidikan atau barangan sekolah boleh diperkenalkan.

“Bagi jangka masa panjang pula, kerajaan perlu melakukan perubahan terutama dalam aspek dasar ekonomi, industri dan pembangunan sosial rakyat selain sektor swasta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ketika ini, penawaran tenaga kerja dengan peluang pekerjaan yang sesuai didapati kurang sepadan. Kita ada ramai graduan tetapi mereka tidak mendapat kerja yang sepatutnya kerana syarat mendapatkan pekerjaan adalah terlalu tinggi selain berbeza dengan bidang kelulusan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan boleh membantu syarikat-syarikat tempatan terutamanya industri kecil dan sederhana untuk menjadi ejen utama yang memangkin penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui inovasi dan teknologi baharu berbanding hanya bergantung kepada pemindahan teknologi oleh firma multinasional asing.

Ini dapat melonjakkan pengeluaran negara ke tahap nilai tambah tinggi dan memberi pendapatan tinggi kepada rakyat berdasarkan produktiviti dan kemahiran mereka, jelasnya.

Subsidi bersasar

Nurhaizal Azam juga mengulas mengenai mekanisme subsidi bersasar petrol yang dilihatnya sebagai satu kaedah baik namun memerlukan penelitian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Penetapan kadar kelayakan agak sukar kerana pendapatan rakyat berubah-ubah. Pemantauan di stesen petrol juga memerlukan tenaga kerja yang ramai melainkan semua urus niaga dijalankan melalui ‘e-payment’ atau sistem pengenalan diri diubah kepada ‘face recognition system’.

“Buat masa ini, adalah wajar bagi kerajaan mengekalkan subsidi petrol untuk semua. Jika ingin dikurangkan, kita boleh mulakan dengan kereta yang masuk dari negara luar seperti Thailand dan Singapura,” katanya.

Saifuddin ketika di Dewan Rakyat minggu lalu dilaporkan berkata pemberian subsidi petrol bersasar bagi golongan berpendapatan rendah B40 mungkin dibuat secara terus ke dalam akaun penerima.

Ini kerana pada masa ini sebanyak 90 peratus penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak menerima subsidi petrol bersasar menerima bantuan secara terus ke dalam akaun mereka.

Tambahnya, baki 10 peratus lagi kebanyakannya berada di kawasan pedalaman pula akan dibantu untuk pembukaan akaun bank.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata tindakan kerajaan menetap harga siling petrol RON95 berharga RM2.08 seliter bulan lepas lepas juga merupakan komitmen dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Melalui penetapan itu, had maksimum harga runcit petrol RON95, yang sebelum ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter, berkurangan sebanyak 12 sen.

Kerajaan menetapkan harga runcit RON95 dihadkan kepada RM2.08 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat lebih daripada itu, dan sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah RM2.08.

Ruangan sisi

Selain Program Food Bank Malaysia, KPDNHEP turut mengetuai dan menyelaras usaha memperkasa sistem e-dagang dan bayaran tanpa tunai di negara ini serta menguatkuasakan undang-undang dan menerima aduan pengguna berkenaan perniagaan dalam talian.

KPDNHEP juga mencadangkan indeks pengukur kos sara hidup bagi menentukan kenaikan gaji lebih munasabah berdasarkan enam komponen utama yang menyumbang kepada beban hidup rakyat iaitu makanan, perumahan, kos utiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS