Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan mungkin bina LRT4 hubungkan Kajang-Putrajaya
Diterbitkan:  Apr 15, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Laluan rel Putrajaya-Kajang kemungkinan akan diteruskan menggunakan rangkaian LRT, lapor The Star Online hari ini.

Laluan berkenaan sebelum ini mula dibangunkan di bawah platform monorel namun dibatalkan pada 2004 susulan kekangan kewangan.

Bagaimanapun, laporan terbaru itu berkata ia kemungkinan diteruskan sebagai sebahagian rangkaian LRT pada kos kira-kira RM2 bilion. Jika diteruskan, laluan itu akan menjadi laluan keempat LRT di Lembah Klang.

Sementara itu, laluan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama dan Klang dianggarkan akan menelan kos RM15.02 bilion.

Laporan itu juga menyatakan bahawa harga yang lebih rendah itu kerana kerja infrastruktur awam projek itu sudah diselesaikan ketika mula dibina di bawah projek monorel sebelum ini.

"Meskipun ia mungkin akan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk projek itu dimulakan, saya boleh sahkan bahawa kerajaan mahu meneruskannya," kata sumber yang dipetik laporan berkenaan.

Ketika ini, laluan MRT1 berakhir di Kajang sementara laluan MRT2 yang kini sedang dibina akan berakhir di Putrajaya. Kedua-dua laluan itu menghubungkan Sungai Buloh.

Laluan Putrajaya-Kajang akan menyambung keseluruhan rangkaian.

Sejak beberapa tahun lalu, beberapa cadangan dibangkitkan untuk menghidupkan semula laluan berkenaan.

Kerajaan lama di bawah BN sebelum ini turut menimbangkan untuk menghubungkan Putrajaya dan Kajang.

Jelas laporan itu lagi, sekiranya projek LRT4 diteruskan, ia akan di bawah pemantauan Putrajaya Corp dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Projek itu sebelum ini dikritik sebagai projek 'gajah putih' namun populasi Putrajaya sejak itu sudah bertambah dengan kadar yang ketara.

Selain laluan MRT2 yang sedang dibina dan kemungkinan pembinaan laluan LRT4, Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan mempunyai satu stesen di Putrajaya, begitu juga dengan Rel Laju KL-Singapura (HSR) yang pembinaannya ditangguh sehingga 2020.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS